Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Sistem penilaian pastikan tandas awam kekal bersih

$
0
0

SIBU: Usaha Kementerian Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat dalam melaksanakan sistem penilaian terhadap semua tandas awam di negeri ini berjaya memastikan tandas awam sentiasa dalam keadaan bersih.

Setiausaha Tetapnya, Datu Dr Penguang Manggil berkata kementerian itu juga melaksanakan sistem sama bagi tandas di kawasan tumpuan utama seperti di lapangan terbang dan pusat membeli-belah.

“Sistem penilaian ini dilaksanakan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa. Selepas ini, sistem mungkin diperluaskan meliputi tandas-tandas milik swasta yang turut digunakan oleh orang ramai,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keadaan tandas awam di seluruh Sarawak secara amnya pada masa kini.

Menurut Dr Penguang, inisiatif terbabit mengambil masa untuk dipatuhi dalam usaha kerajaan memastikan semua tandas awam dijaga dan diselenggarakan dengan baik pada setiap masa.

Ketika mesyuarat di Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) di sini, beliau menyarankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi penekanan terhadap aspek kebersihan tandas awam dan di kawasan bandar.

Kebersihan tandas memberi tanggapan pertama berhubung kebersihan sesuatu kawasan atau bandar itu.

Dr Penguang juga memberitahu, orang ramai turut memainkan peranan penting dalam memastikan kebersihan tandas awam.

“Orang ramai terutama pengguna juga perlu memberi kerjasama penuh menjaga kebersihan tandas termasuk di tempat makan,” ujar beliau.

Sementara tinjauan di Pasar Sentral Sibu semalam mendapati tahap kebersihan tiga tandas di situ dalam keadaan memuaskan.

Tidak kurang tiga pekerja bertanggungjawab menjaga kebersihan setiap tandas terbabit dengan mencuci tandas dilakukan setiap masa.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>