
TEGAS: Adenan ketika mengadakan sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia semalam.
“Saya tidak akan campur tangan dalam krisis dalam komponen parti (BN) tetapi jika ia berlarutan dan menyebabkan kelemahan BN, saya sebagai Pengerusi BN Negeri ada hak untuk berbuat demikian kerana perkara itu akan menjejaskan prestasi BN,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.
Beliau menambah, sebagai Pengerusi BN Negeri beliau tidak boleh berdiam diri sekiranya SPDP gagal menyelesaikan masalah dihadapi terutama ketika ini BN negeri dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Justeru, beliau meminta SPDP agar menyelesaikan masalah mereka dengan segera bagi mengelak implikasinya kepada parti-parti komponen lain.
“Ini tidak bermaksud saya tidak mahu campur tangan, cuma saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak yang berbalah dalam parti komponen.
“Namun ingin saya tegaskan, kalau ia berlarutan untuk tempoh lama dan menjejaskan BN negeri, saya mesti lakukan sesuatu, saya tidak boleh berdiam diri,” tegasnya.
Bagaimanapun, beliau percaya masalah itu dapat diselesaikan mestipun ia mengambil masa.
Ditanya sama ada beliau tahu Tan Sri William Mawan Ikom akan dilucut dari jawatan Presiden parti pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti itu Sabtu ini, Adenan dengan tegas berkata, “Saya tidak tahu.”
Pada sidang media itu beliau turut menasihati Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang turut menghadapi masalah dalaman agar segera menyelesaikannya.
“Menyelesaikan masalah mereka adalah satu-satunya cara SUPP untuk memenangi semula kerusi yang diperuntukkan pada PRN akan datang.
“Kita beri mereka masa untuk selesaikan, tetapi mereka mesti sedar, lebih-lebih SUPP musuh politk utama mereka bukannya antara satu sama lain tetapi Parti Tindakan Demokratik (DAP). Jika mereka berdepan masalah mengenal musuh sebenar, itu masalah besar,” ujarnya.