Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

55 peratus peniaga setuju naik taraf premis Main Bazaar ke Jln Gambier

$
0
0

KUCHING: Sebanyak 55 peratus pemilik premis di sepanjang kawasan Main Bazaar hingga Jalan Gambier bersetuju untuk bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi menaik taraf premis dalam usaha memperindahkan bandar raya ini.

Kerja-kerja menaik taraf rumah kedai yang dianggarkan menelan kos sehingga lebih RM300,000 itu merangkumi pembinaan laluan bagi pejalan kaki, pemasangan lampu serta mengecat semula bangunan lama.

Menurut Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, ia sejajar dengan usaha DBKU bagi melengkapkan program Cantik, Bersih dan Selamat (CBS) yang dipromosikannya.

“Kami (DBKU) kini dalam usaha mengindahkan bandar raya Kuching selain mengutamakan keselamatan serta kebersihan bandar.

“Antara langkah produktif yang diambil ialah dengan memulakan kerja menaik taraf 91 rumah kedai secara keseluruhan sepanjang kawasan sekitar Main Bazaar hingga Jalan Gambier dan pada masa kini, sebanyak 55 peratus pemilik premis telah bersetuju untuk bekerjasama,” ujarnya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Inovasi 2013, di sini semalam.

Beliau berkata, DBKU akan mempertimbangkan cadangan untuk membiayai separuh kos menaik taraf kedai dalam usaha membantu pemilik untuk mengindahkan premis masing-masing.

“Sebagai contoh, sekiranya sesebuah kedai itu memerlukan RM10,000 sebagai kos membaik pulih, DBKU akan mempertimbangkan cadangan untuk membayar separuh daripada jumlah ini iaitu sebanyak RM5,000 kepada pemilik premis.

“Namun, ia masih di pada peringkat perbincangan di mana kami masih meneliti setiap kertas cadangan memandangkan ia juga memerlukan persetujuan kementerian,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan rumah kedai bertujuan untuk pemantauan dan keselamatan.

“Selain mengutamakan kecantikan kawasan sekitar bandar raya, DBKU juga memberi penekanan pada aspek keselamatan dan pantauan yang berterusan.

“Justeru, kami mengambil langkah untuk memasang CCTV di kawasan tertentu dan berharap ia dapat membantu untuk mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di sekitar bandar,” katanya.

Pada masa sama, Abang Abdul Wahap berkata berikutan kecemerlangannya, DBKU menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2013 bagi kategori Perkhidmatan Awam dan Pihak Berkuasa Tempatan baru-baru ini.

Malah, beliau meluahkan rasa bangga atas anugerah yang diterima sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik seluruh Malaysia dalam melaksanakan keselamatan dan kesihatan pekerja organisasi di bawah seliaannya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>