KUCHING: Kematian Ahli Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh merupakan satu kehilangan besar dalam arena politik di negara ini.
Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, mendiang seorang yang berpengalaman luas dan individu yang popular dalam arena politik.
“Saya ama t terkejut mendengar berita tentang pemergian Mendiang Karpal Singh yang merupakan bekas pengerusi DAP dan beliau antara peguam kanan yang popular di Malaysia.
“Malah, beliau juga seorang Ahli Parlimen yang aktif dalam menyuarakan pandangannya dalam Dewan Rakyat, kita rakyat Malaysia sentiasa bersatu meskipun beliau seorang pemimpin pembangkang, kami merasai kehilangan beliau,” katanya.
Mawan berkata demikian pada sidang media di Bilik Balai Ketibaan VVIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini semalam.
Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang dan rakan-rakan seperjuangannya.
Sementara itu, Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil berkata, mendiang seorang yang lantang bersuara dalam memperjuangkan keadilan dan demokrasi untuk rakyat negara ini.
“Saya baharu mendengar perkhabaran pada pagi tadi (semalam),beliau antara ahli politik yang popular di negara ini dan boleh menjadi ikon.
“Beliau telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan kehilangan beliau amat dirasai oleh negara,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan Memorandum Persefahaman antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan Pusat Perubatan Timberland (TMC) di UNIMAS di sini semalam.
Meskipun perbezaan parti politik, Dr Jerip memberitahu bahawa mendiang banyak membantu secara langsung dan tidak langsung dalam pembangunan negara ini.
Mendiang Karpal Singh maut dalam satu kemalangan di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara Selatan laluan utara dekat Kampar awal pagi semalam.