MIRI: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun mengalami kesan lebam dan calar di beberapa bahagian badannya dipercayai dibelasah oleh sekumpulan lima pelajar senior di bilik asrama lelaki sebuah sekolah vokasional di Jalan Krokop di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.30 malam itu, mangsa telah diberitahu oleh seorang pelajar junior supaya pergi ke salah sebuah bilik asrama di situ, di mana kelima-lima pelajar tingkatan lima sekolah itu sedang menunggunya.
Sebaik melangkah masuk ke bilik berkenaan, mangsa dipercayai dibelasah oleh kelima-lima mereka yang menumbuk dan menyepaknya sehingga mangsa mengalami lebam serta luka pada bahagian badan, belakang, bahu, lengan serta muka dan kepala.
Difahamkan, kelima-lima pelajar senior tersebut bertindak demikian kerana berasa tidak puas hati terhadap mangsa yang didakwa oleh mereka sebagai ‘berlagak’ di sekolah itu.
Tidak cukup dengan itu, mangsa juga diugut akan dipukul sampai mati oleh mereka jika dia masih lagi ‘berlagak.’
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihak polis menerima laporan kes tersebut.
“Siasatan sedang dijalan-kan dan polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya kerana ia membabitkan ugutan bunuh.
Dalam perkembangan berkaitan, sekitar jam 3 petang semalam, polis berjaya menahan kelima-lima suspek berhubung kes tersebut.
Gan berkata, kelima-lima suspek tersebut dibawa ke Balai Polis Pusat Miri di sini untuk diambil kenyataan, bagi membantu siasatan lanjut polis dan kemudian dibebaskan semula dengan jaminan polis.
Tahun lalu, seorang pelajar lain di sekolah yang sama turut dipukul oleh sekumpulan pelajar se-niornya dengan perbuatan mereka juga dirakamkan.
Rakaman video berkenaan kemudian tersebar di media sosial.
Mangsa juga mengalami kesan lebam dan luka-luka di bahagian badannya ke-rana dibelasah teruk dalam kejadian itu.