Sekatan dijangka berterusan selagi tiada penyelesaian antara penduduk dan syarikat duduki tanah NCR mereka
KUCHING: Sekatan penduduk di Kampung Lebur, Serian dijangka akan berterusan selagi tiada penyelesaian baik dibuat antara penduduk kampung dengan syarikat yang telah menduduki tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka secara haram sejak 1998.
Menurut Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How selaku peguam yang mewakili penduduk terlibat memfailkan kes terhadap syarikat terbabit, mereka sangat kecewa kerana permintaan untuk tanah mereka dikembalikan tidak didengari walaupun mereka telah memenangi kes di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
“Mahkamah Rayuan pada tahun lepas telah membuat keputusan yang memihak kepada pemilik tanah tetapi syarikat terlibat terus melakukan kerja di kawasan berkenaan.
“Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, para penduduk juga telah membuat beberapa tuntutan untuk tanah mereka dikembalikan tetapi syarikat tersebut langsung tidak peduli.
“Disebabkan itu, para penduduk telah mendirikan sekatan sejak Jumaat lepas bagi menghalang syarikat berkenaan daripada memasuki kawasan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR Negeri, di sini semalam.
Menjelas lanjut, See yang juga ADUN Batu Lintang berkata, sekatan tersebut hanya untuk menghalang syarikat terlibat daripada memasuki kawasan tuaian di situ dan bukannya terhadap operasi kilang.
Tambah beliau, apa yang paling mengecewakan ialah percubaan mereka untuk berhubung dengan syarikat berkenaan melalui peguamnya telah sia-sia.
“Syarikat tersebut telah berjanji untuk menghantar pegawai mereka bagi berunding secara baik dengan penduduk tetapi akhirnya, pegawai mereka tidak hadir.
“Keadaan itu juga telah menyebabkan penduduk begitu kecewa dengan syarikat yang telah mengerjakan tanah mereka sejak 1998 itu,” katanya.
Menurut See, tanah yang terjejas adalah seluas lebih 1,000 hektar dan melibatkan lebih daripada 190 keluarga.