SIBU: Kelas Tabika Perpaduan Bahagian Mukah dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah melaksanakan program ceramah, demonstrasi dan kawat latihan kecemasan kepada kanak-kanak tabika bagi mendidik dan melengkapkan pengetahuan semasa berlaku kebakaran.
Objektifnya memberi latihan dan pengetahuan kecemasan mengenai langkah-langkah perlu diambil memastikan keselamatan kanak-kanak tabika sentiasa terjamin sepanjang masa.
Latihan dan pengetahuan kecemasan sangat penting, mustahak dan amat dititikberatkan oleh Pejabat Perpaduan Bahagian Mukah kepada kanak-kanak tabika supaya sentiasa berada dalam keadaan siap siaga di mana-mana dan bila mereka melangkah ke bangku sekolah rendah.
Ceramah, demonstrasi dan kawat latihan itu dihadiri bersama pegawai-pegawai bomba iaitu Ismandi Srah, Azman Hamit, Norhisyam Sudin, Stephen Plen dan Dura Batta serta pendidik-pendidik kedua-dua tabika perpaduan iaitu Lita Dogoh, Rajinah Wasli, Alice Afandi dan Nurfarahain Abdul Latip.