KUCHING: Dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) daripada jurusan berbeza masing-masing menerima anugerah daripada Persatuan Perkayuan Sarawak (STA) pada 27 Februari lalu.
Dua pelajar berkenaan adalah Mohamad Norfaez Ros daripada Fakulti Perhutanan dan Rachel Joanes Ling yang baharu sahaja menamatkan pengajian dalam Ijazah Sains Perkayuan dan Program Teknologi daripada universiti itu.
Mohamad Norfaez menerima anugerah ‘STA Prizes’ manakala Rachel pula menerima anugerah ‘STA Best Final Year Project Paper’ yang bertajuk ‘Optimization of oil palm wood treatment through impregnation-diffusion with low molecular weight phenol formaldehyde resin for high performances oil palm wood’.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pembangunan Pelajar UPM Profesor Dr Mohd Zaki Hamzah.
STA menerusi anak syarikatnya STA Mutual Sdn Bhd menyediakan biasiswa kepada pelajar yang berhasrat untuk menyambung program ijazah di Fakulti Sains dan Teknologi Sumber Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Fakulti Perhutanan UPM, diploma dan ijazah di Fakulti Kejuruteraan Swinburne University of Technology Kampus Sarawak serta ijazah di Fakulti Kejuruteraan Curtin University Kampus Sarawak.
Sebarang maklumat lanjut mengenai biasiswa yang ditawarkan bagi universiti-universiti berkenaan bolehlah menghubungi Thresa Aji di talian 082-332222 atau e-mel ke alamat thresa@sta.org.my.