
KINI BEROPERASI: KKPJ Jalan Siol Kanan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Khamis) dan dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang pada hari Jumaat selain ditutup pada cuti umum.
Rata-rata penduduk dapat rawatan, pemeriksaan kesihatan gembira dengan kemudahan terbaharu itu
KUCHING: Penduduk di kawasan Petra Jaya kini boleh mendapatkan rawatan kesihatan setelah Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ) beroperasi sejak 31 Mac lepas.
Rata-rata penduduk yang mendapatkan rawatan dan pemeriksaan kesihatan ketika ditemui gembira dengan kemudahan terbaharu itu lantas mencerminkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat terutama daripada aspek kesihatan.
Klinik yang terletak di Jalan Siol Kanan itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Khamis) dan dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang pada hari Jumaat selain ditutup pada cuti umum.
Noraini Kifli, seorang ibu berusia 22 tahun yang membawa bayinya untuk pemeriksaan kesihatan berkata pembukaan klinik di kawasan berkenaan merupakan langkah baik yang dilaksanakan kerajaan.
“Saya sangat gembira dengan pembukaan KKPJ di sini kerana ia sangat dekat dengan rumah saya dan saya tidak perlu pergi ke klinik yang agak jauh untuk mendapatkan rawatan.
“Sebelum ini, saya akan membawa anak saya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Klinik Ibu dan Kanak- kanak Perumahan Baru,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Petra Jaya, di sini semalam.
Menurutnya, kemudahan yang disediakan di KKPJ seperti bilik menyusu serta bilik menukar lampin juga memenuhi permintaan ibu yang mempunyai anak kecil.
Sementara itu, Azri Fathullah Amir, 26, dari Taman Sukma berkata, sistem di KKPJ lebih teratur selain diselia kakitangan bertugas yang begitu ramah.
“Saya amat menyukai perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan kesihatan yang bertugas di KKPJ kerana mereka begitu ramah dengan pesakit mahupun sesiapa sahaja.
“Memandangkan KKPJ baharu lagi dibuka kepada orang awam, mereka (kakitangan) tidak ‘berat mulut’ untuk membantu orang ramai yang bertanyakan arah atau bahagian yang hendak ditujui,” katanya.
Malah katanya, ruang menunggu di hadapan kaunter farmasi yang luas juga memberikan keselesaan kepada pesakit yang menunggu giliran untuk mengambil ubat selain tidak perlu bersesak dengan orang ramai.
Manakala Abang Su’uadi Abang Yak, 43, dari Matang Jaya ketika ditemui turut melahirkan perasaan puas hati dengan layanan yang diberikan kakitangan KKPJ sebelum dan selepas dia mendapatkan rawatan.
“Kakitangan di sini (KKPJ) sangat ramah dan banyak membantu kami (pesakit) yang baharu pertama kali mendapatkan rawatan di sini.
“Meskipun harus menunggu agak lama sebelum giliran dipanggil untuk berjumpa doktor, namun ruang menunggu yang disediakan di sini sangat selesa,” katanya.
Abang Su’uadi berharap KKPJ dapat beroperasi selama 24 jam untuk memudahkan penduduk sekitar mendapatkan rawatan kesihatan terutama bagi kes kecemasan.
KKPJ dibina di atas tapak seluas 2.36 ekar selain dilengkapi 173 ruang parkir kereta serta kemudahan-kemudahan asas yang moden bagi memudahkan orang awam yang berkunjung ke situ.
Antara kemudahan yang ada di KKPJ termasuk bahagian pergigian, rehabilitasi, pentadbiran, bilik mesyuarat, pendidikan kesihatan, klinik ibu dan anak, pesakit luar, surau, kafeteria dan banyak lagi.