Statistik menunjukkan kerugian meningkat saban tahun
KUCHING: Kes kebakaran rumah panjang di Sarawak saban tahun terus menyaksikan peningkatan dari segi bilangan serta angka kerugian.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, tahun lepas merekodkan angka kerugian sebanyak RM24 juta yang merangkumi 347 pintu manakala 2011, RM16 juta (259 pintu).
Justeru, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya akan memperkasakan usaha dalam mengelakkan bencana itu daripada berlaku, menerusi pelbagai kempen.
“Pada tahun 2014 ini, kami menyasarkan untuk mengadakan kempen di 70 buah rumah panjang.
“Kami juga akan mengadakan tiga kempen kesedaran anjuran bersama Fire Marshall dan Mercy Sarawak,” katanya dalam sistem pesanan ringkas (SMS) kepada pemberita, semalam.
Malah, tempoh tiga bulan pertama tahun ini mencatat tujuh buah kes berbanding dua kes sahaja pada tempoh sama tahun lepas.
Tujuh kes itu menyaksikan sebanyak 163 pintu rumah panjang ranap manakala dua kes kebakaran pada tahun lepas memusnahkan 35 pintu.
Baru-baru ini, lebih 300 penduduk rumah panjang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang mereka di Sibu dan Saratok musnah dalam kebakaran.
Kebakaran di Sibu itu menyaksikan 24 dari 70 pintu Rumah Adin Jawa di Sungai Engkalat pada jam 8.30 pagi 3 April lalu, yang menjejaskan 124 penduduk.
Manakala di Saratok iaitu di Rumah Kayan Tarang, Nanga Telik di Krian sepanjang 25 pintu turut terbakar pada jam 10 pagi hari yang sama, sekali gus menyebabkan 200 penduduk hilang tempat berteduh.
Hisham pada sebuah sidang media awal bulan ini turut menyifatkan kes kebakaran membabitkan rumah panjang semakin membimbangkan.
Antara punca kebakaran yang didapati adalah cuai ketika memasak selain masalah pendawaian elektrik.