PPDNKK Sarawak rampas 262,470 liter diesel dengan nilai RM524,940 dari Jan hingga Mac
KUCHING: Sebanyak 262,470 liter diesel dengan nilai RM524,940 dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Sarawak dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Pengarah PPDNKK Sarawak Stanley Tan berkata, rampasan itu melibatkan 13 kes yang berlaku di seluruh negeri.
Hasil daripada rampasan itu, menurutnya, seramai 15 individu disiasat kerana memiliki diesel untuk tujuan melakukan kesalahan.
“Kita berjaya merampas 262,470 liter dengan nilai RM524,940 yang melibatkan 13 kes dengan 15 individu disiasat setakat ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah diesel yang dirampas PPDNKK Sarawak dari bulan Januari hingga Mac tahun ini.
Menurutnya lagi, sebuah kapal dengan nilai RM1.4 juta yang disyaki untuk kegunaan penyeludupan diesel disita dalam operasi membanteras penyeludupan diesel.
Selain itu, katanya, PPDNKK Sarawak menyita tujuh buah kenderaan dengan nilai RM240,000 yang digunakan untuk menyimpan diesel.
Beberapa barangan lain seperti pam, hos dan meter pam dengan nilai RM4,900 turut disita.
“Keseluruhan barangan yang dirampas disita berjumlah RM2.2 juta,” ujarnya.
Stanley berkata, individu yang didapati memiliki minyak diesel untuk tujuan melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Pesalah (individu) yang didapati bersalah boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.
“Denda RM250,00 akan dikenakan terhadap syarikat yang melakukan kesalahan sama,” jelasnya.
Beliau menambah, PPDNKK Sarawak akan menjalankan operasi membanteras penyeludupan diesel dan mengesan individu atau syarikat yang memiliki diesel untuk tujuan melakukan kesalahan.