SIBU: Setiausaha Publisiti DAP Cawangan Sibu, David Wong berkata isu pihak memperkecil usaha DAP Sarawak berkempen mendapatkan tanda tangan seluruh negeri bagi memastikan rakyat di negeri ini menikmati polisi bekalan elektrik lebih adil tidak harus ditimbulkan.
Beliau berkata kempen itu berjaya meletakkan tekanan terhadap SESCo apabila mengadakan mesyuarat bagi menangani isu berkenaan.
“Selain itu, ia juga menjadi isu utama semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian di mana wakil-wakil BN menjelaskan kepada pengundi menolak kempen tanda tangan kami yang mahukan tarif elektrik diturunkan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, secara tidak langsung kempen tersebut telah memberikan tekanan besar kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Justeru, beliau menggesa rakyat negeri ini menyertai dan menyokong kempen tanda tangan tersebut yang dilancarkan bulan lalu.
Sehingga hari ini, beliau mendedahkan bahawa mereka telah pun mengumpul kira-kira 60,000 tanda tangan di seluruh negeri.
“Sasaran kami untuk mendapatkan 100,000 tanda tangan dan berharap rakyat akan menyokong dan menyertai kempen ini,” katanya.
Wong mengulangi bahawa kempen tanda tangan itu bertujuan memastikan SESCo dapat mengubah polisinya dengan menurunkan tarif elektrik sebanyak 30 peratus.
Beliau berkata, SESCo telah membeli bekalan elektrik dari Empangan Bakun pada harga RM0.065 per kWj tetapi kemudian dijual kepada pengguna pada purata RM0.30 bagi setiap kWj.
“Hasilnya, SESCo memperolehi keuntungan beratus-ratus juta setiap tahun,” katanya.
Pada 2009, SESCo memperolehi keuntungan sebelum cukai sekitar RM217 juta manakala 2010 (RM336 juta) dan pada 2012 ialah RM266 juta cukai.
“Keuntungan itu datang daripada tarif yang tinggi dikenakan ke atas pengguna. Kerajaan perlu menurunkan tarif elektrik untuk membantu mengurangkan kos kehidupan rakyat,” jelasnya.
Melalui kempen tanda tangan, mereka juga berharap akan membantu mengurangkan gangguan kuasa di negeri ini.
Pada awal pelancaran kempen berkenaan, kerajaan BN menganggap sebagai ‘jenaka’.
“Namun, sekarang mula berubah dan kerajaan sendiri sentiasa mengikuti perkembangan kempen berkenaan,” katanya.