KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof memberitahu, kementeriannya telah melantik perunding bagi membuat perincian terhadap pembinaan jalan baharu empat lorong dari Matang (bulatan Emart) menuju ke Batu Kawa.
Katanya setelah perincian dibuat kerajaan akan membuka tender bagi pembinaan jalan tersebut.
“Kami berharap projek ini dapat dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan (2015),” katanya.
Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan projek jalan menghubungkan Matang dan Batu Kawa selepas merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N6 Tupong 1435H/2014M di Masjid Darul Hikmat Kampung Sejijak di sini, malam kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengulas lanjut, projek turut melibatkn pembinaan jambatan (juga telah diluluskan) yang akan menghubungkan laluan altenatif itu (Matang ke Stapok di Batu Kawa).
Mengenai projek berkenaan, Utusan Borneo sebelum ini melaporkan ia bakal melibatkan jarak sepanjang lapan kilometer (km) bermula dari bulatan Emart Matang menyeberangi Sungai Sarawak ke Stapok dan dihubungkan ke Jalan Stapok Utama.
Dari Jalan Stapok Utama, jalan baharu ini akan dihubungkan ke Jalan Batu Kawa seterusnya ke Jalan Kim Hin menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan Kuching Sentral.
Skop kerja melibatkan naik taraf jalan sedia ada iaitu Jalan Matang/Kampung Meroh dan membina jalan baharu pada jarak 1.5 km dari bulatan Emart ke jambatan baharu yang dicadangkan merentangi Sungai Sarawak.
Projek ini turut melibatkan kerja naik taraf bulatan Emart kepada persimpangan lampu isyarat, naik taraf persimpangan lampu isyarat dari Jalan Stapok Utama ke Jalan Batu Kawa serta pemasangan lampu jalan dan lain-lain.
Anggaran kos projek adalah RM145 juta melibatkan kerja-kerja mengenal pasti tapak, pembinaan jalan baharu, menaik taraf jalan sedia ada, membina jambatan, pampasan tanah, yuran perunding bagi rekaan, penyeliaan dan banyak lagi.
Jalan baharu ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pengguna jalan di kawasan tersebut tanpa melalui pusat bandar dan mengelak kesesakan.