KUCHING: Sebanyak 10 panggilan palsu melibatkan kes kebakaran dan kemalangan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Daripada 10 panggilan palsu yang diterima, Pengarah Bomba Negeri Nor Hisham Mohamad berkata dua melibatkan kemalangan, tiga kebakaran belukar dan lima kebakaran rumah.
Menurutnya, panggilan palsu pertama yang diterima pihaknya berkaitan kemalangan di Tebedu manakala panggilan palsu terakhir merangkumi kebakaran rumah di Lawas.
“Perkara ini (panggilan palsu) menyusahkan kami kerana kami terpaksa pergi ke tempat kejadian seperti yang dilaporkan.
“Namun apabila tiba di tempat kejadian tiada apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai panggilan palsu diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak setakat ini.
Nor Hisham menambah, setiap panggilan yang diterima akan dihubungi balik oleh anggota bomba bertugas untuk memastikan kesahihan setiap laporan.
“Biasanya kalau panggilan palsu, jika kami hubungi balik mesti tidak akan dijawab,” ujarnya.
Menurutnya, panggilan palsu biasanya dilakukan menggunakan telefon bimbit melalui talian kecemasan 999.
Beliau menegaskan, setiap panggilan palsu berulang akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan dapat diambil terhadap pemanggil.
Sehubungan itu Nor Hisham menasihati setiap lapisan masyarakat di negeri ini agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melakukan sebarang panggilan palsu.
“Saya berharap ibu bapa juga harus peka dan tidak membenarkan anak masing-masing melakukan panggilan palsu,” jelasnya.