Sebagai masyarakat minoriti, mereka harus bijak rebut peluang disediakan demi kebaikan bersama: Anyi
MIRI:Masyarakat Kenyah di seluruh Sarawak diingatkan agar terus bersatu padu dan memain peranan masing-masing secara efektif bagi mencapai kemajuan berterusan.
Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau memberitahu, sebagai masyarakat minoriti, Kenyah seharusnya bijak merebut peluang yang disediakan khususnya oleh kerajaan demi kebaikan bersama.
“Saya percaya dan yakin dengan perpaduan yang teguh, kita bukan sahaja mampu memberi kerjasama yang baik di kalangan kita sendiri, bahkan kita juga mampu melakukan sesuatu untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi.
“Sehubungan itu, dengan kerjasama erat dan bersatu dalam melakukan sesuatu dengan berfikiran secara positif, kita juga mampu setanding dengan masyarakat atau kaum lain di sini,” jelasnya.
Anyi berkata demikian pada Majlis Pemung Kejae Ngan Bangen Tawai 2014 anjuran Persatuan Kebangsaan kenyah Sarawak (PKKS) di Imperial Hotel di sini malam Sabtu lalu.
Beliau turut menyeru masyarakat Kenyah agar terus memberi sokongan terhadap rancangan pembangunan kerajaan terutama dalam pembinaan Empangan Baram.
Jelas beliau, kerajaan berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyatnya dan tidak akan menjejaskan kehidupan mereka.
“Kita tahu masa ini, pasti ada antara kita yang berasa ragu dan berprasangka buruk terhadap Empangan Baram yang dikatakan akan menjejaskan kehidupan kita.
“Tetapi saya yakin, jika dilihat dari sudut positif, kita seharusnya mengambil peluang ini untuk mengubah dan meningkatkan ekonomi serta taraf hidup masyarakat kita sendiri.
“Kita perlu yakin dan memberi sokongan kerana kerajaan sudah pastinya melakukan apa yang terbaik untuk rakyat,” ujarnya.
Menurutnya, pada zaman dahulu, masyarakat Kenyah lebih dikenali sebagai pemburu atau petani, namun kini dengan kemajuan yang dikecapi, Kenyah banyak merasai perubahan yang ketara.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan jawatankuasa dalam persatuan terbabit agar terus memainkan peranan dan tanggungjawab dalam membantu Kenyah melonjak ke satu tahap yang lebih mengguntungkan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datu Ose Murang, Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Pegawai Daerah Miri Boniface Intang Apat, Presiden PKKS Marcus Gau Lian, Ketua Kaum Kenyah Temenggung Joseph Ngau Lian dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Lucas Kallang Laeng.