MIRI: Remaja lelaki berusia 18 tahun yang disyaki membunuh ibunya dengan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau sayur, dalam tragedi yang berlaku petang kelmarin (Sabtu), ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan.
Suspek ditahan kira-kira sejam selepas mayat ibunya, Marife Resuello Wong, 44, yang juga warga Filipina, ditemui jam 2.50 petang kelmarin dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada lehernya.
Mangsa ditikam dari belakang oleh suspek dalam kereta Hyundai Atos yang diparkir di depan Kompleks Tenis Kampung Sukan, di sini, kelmarin.
Mayatnya ditemui oleh seorang pelajar lain yang baharu tamat mengikuti latihan tenis di kompleks berkenaan.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Gan Tian Kee berkata suspek mengaku berlaku perbalahan di antara dia dengan ibunya baru-baru ini, selain memberitahu tidak tahan dengan sikap ibunya yang memarahinya hampir setiap hari.
Pemeriksaan awal katanya, mendapati sebaik tiba di depan kompleks berkenaan, suspek yang duduk di kerusi belakang mengambil kesempatan menikam leher mangsa dan melarikan diri selepas itu.
“Polis tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham yang mencetuskan pertengkaran dua beranak itu di dalam kenderaan sebelum kejadian dan kemuncaknya apabila suspek menikam ibunya dari belakang.
“Selain pisau, polis juga merampas pakaian serta peralatan tenis seperti raket dan stoking dipercayai digunakan semasa kejadian untuk membantu siasatan,” katanya.
Gan juga tidak menolak perbalahan dua beranak itu turut berlaku selepas permintaan suspek mahu mendapatkan seunit telefon pintar tidak dipenuhi.
Bagaimanapun katanya, ujian air kencing dilakukan ke atas suspek mendapatinya negatif daripada gejala dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, suspek yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu ditahan selepas mengaku membunuh ibunya menggunakan sebilah pisau sayur yang dibawa dari rumah sebaik tiba di pekarangan kompleks berkenaan untuk sesi latihan tenis pada jam 8.15 pagi.