
HULUR BANTUAN: Mawan menyampaikan bantuan berbentuk keperluan harian kepada Tuai Rumah Kayan sambil disaksikan para penduduk.
SARATOK: Seramai 200 penduduk Rumah Kayan Tarang, Nanga Telik, Hulu Krian di sini yang tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Khamis lalu, mendapat pembelaan daripada pelbagai pihak.
Dalam lawatan Ahli Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom ke rumah panjang terbabit semalam, beliau menghulurkan bantuan berbentuk kewangan kepada penduduk terbabit.
Mawan turut mengumumkan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM60,000 serta bantuan segera bernilai RM3,000 kepada mangsa kebakaran tersebut.
Katanya geran tersebut akan digunakan penduduk untuk membeli peralatan membina rumah lebih kukuh sementara menunggu rumah panjang baharu siap.
Mawan berharap keluarga mangsa terbabit sentiasa bersabar memandangkan terdapat pihak yang sentiasa tampil membantu meringankan beban mereka.
“Kerajaan dan pertubuhan lain di sini sentiasa tampil membantu mengurangkan beban hidup mereka sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun barang keperluan,” katanya.
“Oleh itu, saya bagi pihak kerajaan juga menghulurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran terbabit dengan jumlah wang tunai RM3,000 dan meluluskan MRP RM60,000,” katanya ditemui ketika melawat penduduk rumah panjang terbabit, semalam.
Katanya bantuan segera itu membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan membantu rakyat ditimpa musibah khususnya penduduk rumah panjang.
Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Saratok memperuntukkan sejumlah RM76,000 bagi 25 pintu penduduk rumah panjang yang musnah dalam kebakaran itu.
Pegawai JKM Saratok Sukarni Abu Kassim berkata sumbangan kepada semua mangsa itu adalah bagi meringankan beban mereka.
“Saya berharap semua mangsa bersabar sementara menanti proses tindakan seterusnya berkaitan bantuan disalurkan daripada pihak berkaitan dan jangan putus asa untuk membina semula kehidupan masing-masing,” katanya.
Bantuan tersebut merangkumi makanan untuk seminggu, pakaian harian, perkakas dapur, pakaian sekolah, peralatan sekolah dan bahan-bahan binaan rumah.
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok Mohamad Ikhmal Abdullah dan Penolong Pegawai Daerah Laga Kueh.