KUCHING: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menggesa semua pengamal media menghayati kebebasan mengumpul dan menyiarkan berita secara jujur serta kritikan yang saksama.
Beliau memberitahu, tugas utama media dan wartawan adalah menghormati kebenaran, bersikap adil kepada semua pihak dan menunaikan hak masyarakat untuk mengetahui kebenaran dalam setiap hal.
“Media dan wartawan dapat mencorakkan berita mengikut keadaan dengan mengambil kira kesan ke atas masyarakat dan negara.
“Oleh itu, demi kepentingan semua pihak wartawan perlu beroperasi berlandaskan etika kewartawanan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Menteri Muda (Pelaburan dan Promosi) Datuk Julaihi Narawi pada Majlis Malam Penghargaan Media di sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.
Pada masa sama, Awang Tengah berharap pengamal media tidak mudah terpesona dengan pihak berkepentingan dalam sesuatu isu terutama individu daripada pejuang politik sempit, berkepentingan dan tidak faham tentang sesuatu isu.
“Ini bukan sahaja membantutkan pembangunan negara, malah mengancam imej dan kedaulatan negara kita sendiri, tambahan pula anasir luar amat berminat untuk membiayai mereka yang mudah lupa daratan,” tegasnya.
Selain itu, beliau berkata tugas media bukan sahaja melaporkan tetapi juga mampu berperanan untuk ‘mendesak’ kerajaan membuat dasar yang baharu bagi membantu secara adil golongan dan pihak yang tertindas.
“Sebagai kerajaan, kita juga mempunyai amanah dan tanggungjawab kepada setiap lapisan masyarakat, bidang kewartawanan ini menuntut kita melaksanakan tugas dan amanah secara penuh beretika dan beradab,” tambahnya.
Justeru, katanya dalam keadaan landskap politik dan asas hubungan antara kaum yang dapat dieksploitasi ke arah negatif, semua itu memerlukan asas nilai dan etika kewartawanan yang tinggi.
“Justeru, saya berharap kerjasama erat ini dapat diteruskan dalam bersama-sama kita memberi sumbangan membantu pembangunan negara khasnya negeri Sarawak,” ujarnya.