KUCHING: Terdapat lebih 600 guru kaunseling terlatih di Sarawak, malangnya hanya 249 daripadanya mendaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia.
Sehubungan itu Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menggesa para kaunselor yang ada di negeri ini mendaftar di bawah lembaga berkenaan bagi memajukan lagi amalan kaunseling secara profesional.
“Di Malaysia terdapat seramai 5,137 kaunselor yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan hanya 249 orang sahaja dari Sarawak yang mendaftar sedangkan kita mempunyai lebih daripada 600 guru kaunseling terlatih.
“Satu perkara yang harus diingat ialah kita kini hidup dalam dunia yang amat mencabar dan para kaunselor juga tidak terlepas daripada cabaran-cabaran serta dugaan-dugaan ini.
“Jika anda mendaftar di bawah lembaga ini percayalah, terdapat banyak kebaikan, kelebihan serta manfaat yang akan anda nikmati kerana terdapat akta yang akan melindungi anda sepanjang pembabitan dalam bidang kaunseling,” katanya.
Fatimah berkata demikian pada sidang media sempena kunjungan Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (Perkama International) di pejabatnya yang terletak di tingkat bawah Baitulmakmur di sini semalam.
Kunjungan tersebut adalah bagi memaklumkan beliau mengenai Persidangan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (MICC) 2014 yang akan diadakan pada 29 hingga 31 Oktober di Hotel Hilton di sini.
Dianjurkan oleh Perkama International, persidangan julung kalinya ini turut mendapat kerjasama daripada Bahagian Pengurusan Psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).
Mengulas mengenai MICC 2014, Fatimah berkata ia perlu disokong oleh semua pihak dan tidak hanya kerajaan kerana ia akan membantu meningkatkan ilmu dan kemahiran para kaunselor.
“Apa yang dipelajari di universiti mungkin masih boleh digunakan tetapi tiada penambahbaikan justeru persidangan ini merupakan peluang terbaik untuk para kaunselor berkongsi ilmu dan pengalaman dalam usaha meningkatkan kemahiran kaunseling masing-masing,” ujarnya.
Bercakap mengenai MICC 2014, ia bertemakan ‘Best Practices for Best Practitioners in Counselling Servises’ dan dijangka dihadiri 300 kaunselor dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan luar negara.
Sebanyak 18 topik telah dikenal pasti untuk dibentangkan pada persidangan tersebut, antaranya Kaunseling Organisasi, Kaunseling Kesihatan Mental, Kaunseling Pemulihan, Kaunseling Keluarga, Remaja dan Kanak-Kanak, Kaunseling Dadah dan Kaunseling Silang Budaya.
Sementara itu pada 29 Oktober 2014, empat bengkel akan diadakan dan topik-topik bengkel termasuk aplikasi terapi resilien untuk kanak-kanak dan penjaga, intervensi keganasan domestik dalam setting kaunseling, aplikasi nuerofeedback untuk kaunselor dan intervensi penilaian bunuh diri.
Maklumat lanjut mengenai persidangan ini boleh didapati dengan melayari di http://www.micc2014.org/ atau sekretariat boleh dihubungi melalui e-mel secretariat.micc2014@gmail.com atau talian 011-14069269.