Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Tegas tangani pencemaran alam sekitar

$
0
0

TAKLIMAT: Peter (kanan) memberi taklimat kepada Awang Tengah (empat kiri) mengenai bagaimana alat moden pemantau kualiti udara tersebut berfungsi yang juga akan dihubung terus dengan ibu pejabat NREB di Kuching.

Kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan pencemaran alam sekitar

LAWAS: Kerajaan negeri melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan pencemaran alam sekitar.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, bagi membuktikan komitmen tersebut kerjasama antara negara jiran di rantau ASEAN akan terus dipertingkatkan terutama bagi mengekang masalah jerebu rentas sempadan.

“Kerjasama tersebut melibatkan negara Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia sendiri yang kerap kali berhadapan dengan masalah jerebu setiap kali musim kemarau,” katanya.

Bercakap semasa merasmikan Stesen Pemantauan Kualiti Udara Lawas di Majlis Daerah Lawas kelmarin, Awang Tengah turut menggesa pihak majlis tempatan supaya bersama-sama memastikan aspek kebersihan di bawah bidang kuasa masing-masing dipertingkatkan.

“Aspek kebersihan harus juga meliputi pemantauan kepada aktiviti perkilangan agar semua sisa terbuang tidak sewenangnya dibuang ke dalam sungai khususnya di kawasan berhampiran kawasan tadahan air,” katanya.

Mengenai stesen-stesen pemantauan yang ditempatkan di seluruh negeri termasuk di sini yang dirasmikan Ahad lalu, Awang Tengah berkata, melalui sistem amaran yang dipasang di setiap stesen, NREB akan mengeluarkan amaran dan notis terhadap pihak yang didapati menimbulkan masalah jerebu dan berkaitan dengannya.

Berdasarkan hasil pemantauan daripada stesen-stesen yang ditempatkan di seluruh negeri, NREB dapat mengenal pasti tahap serta peringkat pada sebarang perkembangan cuaca yang boleh menggugat kesihatan orang ramai.

Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak berkata melalui sistem amaran ini kelak, ia juga akan dapat membantu orang ramai mahupun pengusaha ladang menghentikan sebarang aktiviti pembakaran dan seumpamanya.

“Ini bukan hanya melibatkan pihak perladangan tetapi juga masyarakat setempat yang turut mengusahakan tanah untuk aktiviti pertanian.

“Sistem amaran seperti ini penting untuk membolehkan masyarakat lebih berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” tambahnya.

Awang Tengah juga menyeru agar semua masyarakat memberi kerjasama kepada agensi kerajaan yang bertanggungjawab kerana ini merupakan tanggungjawab semua masyarakat.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Kontroler NREB Sarawak Peter Sawal serta Pegawai Daerah Lawas Husaini Hakim.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>