KUCHING: Ramai di kalangan bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) Briged Sarawak tidak memiliki kad perakuan pesara yang mana ia seharusnya diberi sebaik tamat perkhidmatan.
Presiden Persatuan Bekas Anggota PPH Briged Sarawak Datuk Aba R. Huk memberitahu perkara ini ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan berkenaan di sini kelmarin.
Menurut Aba, di Semenanjung Malaysia, semua bekas anggota PPH telah diberi kad pesara sebaik menamatkan perkhidmatan masing-masing.
Namun sebaliknya di Sarawak apabila sebahagian besar daripada mereka tidak diberikan kad pesara yang mana beliau percaya ia berpunca daripada masalah di peringkat pentadbiran.
“Kad pesara seharusnya diberikan secara serta-merta kepada mana-mana anggota yang telah bersara daripada perkhidmatan.
“Kad ini amat penting bagi bekas-bekas anggota pasukan polis hutan dan yang lain amnya di Sarawak untuk layak menikmati keistimewaan-keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan terutama dalam aspek kesihatan.
“Malah pasangan kepada bekas polis berkenaan juga layak menikmati keistimewaan yang sama kerana maklumat pasangan turut disertakan pada kad tersebut,” katanya.
Berikutan perkara itu, Aba pada mesyuarat itu semalam berkata beliau akan mengemukakan hal ini kepada pihak yang berkenaan bagi tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Aba yang kekal sebagai presiden persatuan berkenaan pada sesi pemilihan kelmarin berkata seramai 25 bekas polis daripada pasukan itu akan menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN).
Penganugerahan pingat tersebut akan dilakukan oleh Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis yang akan berlangsung di Miri, Mei depan.
Persatuan dalam pada itu akan terus mencari dan mengenal pasti bekas-bekas polis daripada pasukan ini sama ada yang hidup atau mati untuk disenaraikan bagi penganugerahan pingat yang sama secara berperingkat-peringkat.
Setakat ini seramai 387 bekas polis daripada pasukan berkenaan telah dikenal pasti oleh persatuan sejak penubuhannya pada 2007 dan diluluskan pendaftarannya pada Disember 2009.
Persatuan berkenaan terus diterajui oleh Aba selaku presiden manakala Louis N.Gines dipertanggungjawabkan sebagai naib presiden.