Pelbagai tindakan diambil kekang gerakan keganasan dan ajaran sesat di S’wak
// Oleh Rusnan Mustafa //

TERIMA KASIH: Abang Johari menyampaikan cenderamata kepada moderator Seminar Penerapan Wasatiyyah sambil ditemani Misnu di Kompleks Islam Sarawak semalam.
KUCHING: Gerakan merekrut ahli kumpulan Islamic State (IS) dan Daesh serta penyebaran ajaran sesat di Sarawak masih terkawal.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pelbagai tindakan diambil kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak dan Majlis Islam Sarawak (MIS) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mengekang gerakan keganasan itu dan penyebaran ajaran sesat daripada melebarkan sayap ke negeri ini.
Namun apa yang menjadi kebimbangan, katanya adalah ahli kumpulan militan terbabit dan pembawa ajaran sesat menyamar sebagai pelancong untuk masuk ke negeri ini sebelum menyebarkan fahaman mereka.
“Pada umumnya Sarawak tidak mengalami masalah yang serius kerana sudah menjadi budaya kita di Sarawak yang mana kita hidup dengan rukun dan damai, kita memahami dan menghormati antara satu sama lain.
“Justeru, keadaan di Sarawak tidak bahaya tetapi sebelum ia merebak kita harus sentiasa menjaga dari akarnya,” kata Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penangguhan Seminar Penerapan Wasatiyyah Dalam Mendepani Cabaran Akidah Umat Islam Masa Kini di Kompleks Islam Sarawak di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai isu IS dan Daesh di Sarawak, beliau menjelaskan terdapat usaha untuk merekrut rakyat negeri ini menyertai gerakan tersebut tetapi berjaya dikesan dan dibendung serta-merta.
“Begitu juga dengan isu ajaran sesat Millah Abraham yang cuba menyebarkan fahamannya di Simunjan baru-baru ini tetapi kita dapat mengesan dan membendungnya daripada merebak,” tambahnya.
Sehubungan itu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, seminar tersebut dianjurkan untuk memberi penjelasan dan pendedahan kepada masyarakat Islam tentang masalah akidah yang dihadapi umat Islam masa kini.
Oleh itu, beliau berharap masyarakat Islam di negeri ini sentiasa memelihara akidah mereka dengan berpaksikan ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah dan pada masa sama menjaga keharmonian dengan masyarakat bukan Islam.
“Kalau ada yang datang membawa dakwah yang ‘pelik’ pergilah bertanya kepada pihak Jabatan Agama Islam Sarawak agar kita tidak terpengaruh dengan ajaran yang salah,” ujarnya.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha berkata, pihaknya merancang memperluaskan seminar itu bagi memberi kesedaran dan pendedahan isu tersebut kepada masyarakat Islam di seluruh Sarawak.
Seminar yang dihadiri kira-kira 900 peserta itu semalam menampilkan dua penceramah khas, Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali yang membentangkan tajuk ‘Penerapan Wasatiyyah Di Dalam Mendepani Cabaran Aqidah Umat Islam Masa Kini’.
Manakala penceramah kedua, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JAWI Kuala Lumpur Wan Jaapar Wan Ahmah yang membentangkan tajuk ‘Ajaran Millah Abraham’.