Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Harga rumah di S’wak meningkat

$
0
0

SIBU: Harga rumah kediaman di negeri ini secara keseluruhan menunjukkan peningkatan berikutan kenaikan harga tanah, bahan binaan, tenaga kerja dan kos tambahan lain.

Timbalan Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Joseph Wong berkata pindaan ke atas Rang Undang-Undang Pembangunan Perumahan 2013 dilihat tidak akan menurunkan harga rumah di negeri ini.

“Pindaan itu hanya akan mewujudkan lebih banyak kawalan terhadap pemaju dan meningkatkan kos kepada pemaju, dan kos tambahan secara tidak langsung disalurkan kepada pembeli rumah,” katanya pada Jerayawara Perumahan dan Hartanah SHEDA Sibu 2013, semalam.

Wong berkata, harga rumah di Sarawak menunjukkan peningkatan sejak 10 tahun lalu iaitu purata peningkatan sebanyak lima peratus setahun dengan purata seunit rumah kini RM316,000.

Katanya, dengan pasaran hartanah di Sibu kini dalam keadaan stabil pindaan Rang Undang-Undang Pembangunan Perumahan 2013 menyebabkan perubahan kepada pasaran memandangkan polisi baharu itu terlalu melindungi pembeli rumah.

“Niat kerajaan menjaga hak pembeli rumah disambut baik, namun jika dilakukan secara keterlaluan, semua itu akan memberi kos tambahan kepada pemaju.

“Ini akan menjadi salah satu sebab kepada kenaikan harga rumah di Sarawak,” jelas beliau sambil menambah Kementerian Perumahan juga berjaya mengawal serta menghalang projek perumahan terbengkalai di negeri ini.

Beliau memberitahu, kos tambahan lain melibatkan bayaran SESCO, Lembaga Air, Telekom dan sebagainya yang perlu dipatuhi oleh pihak pemaju juga dilihat tidak akan membantu menurunkan harga hartanah di negeri ini.

Oleh itu, Wong menggesa kerajaan melihat semula perkara tersebut dan berlaku lebih adil kepada pemaju jika kerajaan serius mengawal kenaikan harga rumah.

SHEDA juga mengadakan perbincangan secara aktif dengan Kementerian Perumahan Sarawak berhubung cadangan pindaan Ordinan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1993.

Namun, kebanyakan pandangan dan maklum balas persatuan tidak diambil kira.

“Bagaimanapun, SHEDA terus mengetengahkan masalah dan isu kepada kementerian dan pihak berkenaan selain berharap dapat mencapai situasi ‘menang-menang’ demi pembangunan industri hartanah di Sarawak,” kata Wong.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>