Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

BPIEF mampu ubah persepsi terhadap IPTS

$
0
0

Ia mampu ubah persepsi masyarakat yang beranggapan kos pengajian di IPTS terlalu tinggi

KUCHING: Penganjuran The Borneo Post International Education Fair (BPIEF) dilihat mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Menurut Amirah Azlan, 18, pengunjung BPIEF yang ditemui semalam, sebelum ini dia beranggapan kos pengajian di IPTS terlalu tinggi.

“Namun, selepas saya mengunjungi pameran ini, saya mendapat pengetahuan baharu mengenai kos pengajian tidaklah terlalu tinggi dan ia boleh dibantu dengan biasiswa mahupun pinjaman pendidikan.

“Pameran pendidikan ini dapat membantu mengubah persepsi di kalangan masyarakat khasnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu menyambung pengajian mereka di peringkat lebih tinggi,” katanya yang mendapat keputusan cemerlang 9A pada SPM lepas.

Amirah yang bercita-cita mahu menyambung pengajian dalam jurusan seni bina berkata, pelbagai kolej yang menyertai pameran pendidikan itu memberi penerangan khusus terutama mengenai tawaran jurusan yang boleh diambil bersesuaian dengan minat serta hasrat pelajar sendiri.

Sementara itu Karen Wong Shiang Jun, 18, bekas pelajar Sekolah Methodist Sibu pula memberitahu, percutiannya bersama keluarga ke Kuching tidak disia-siakan apabila berpeluang menyaksikan pameran yang julung kali dikunjungi itu.

“Kami yang datang dari Sibu berhasrat untuk bercuti ke Kuching selepas saya menerima keputusan SPM baru-baru ini dan pada kesempatan ini, saya tidak mahu terlepas peluang untuk melihat pameran BPIEF ini.

“Pada pendapat saya, pameran seumpama ini sangat baik terutama bagi pelajar lepasan SPM seperti saya kerana melalui pameran ini, kami berpeluang mengetahui latar belakang institusi pengajian tinggi yang bersesuaian,” katanya.

Tambahnya, penglibatan ratusan pempamer daripada institusi tempatan mahupun antarabangsa dalam pameran itu akan memudahkan pengunjung membuat keputusan untuk menyambung pengajian di institusi yang diimpikan.

Ibu Karen, Mary Shu Ngiik Ling, 44, berkata pameran BPIEF berupaya menjadi medium kepada para lepasan SPM untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan pendidikan yang membuka peluang untuk masa depan yang lebih cerah.

“Saya tidak mahu mempengaruhi keputusan anak saya, kerana saya melepaskan tanggungjawab membuat keputusan itu kepada mereka sendiri.

“Dengan keputusan 11A yang diperolehi Karen pada SPM lepas, saya yakin pameran yang cukup berinformasi ini dapat membantu Karen membuat keputusan bijak tentang ke mana hala tuju pengajian yang diimpikannya,” katanya.

Manakala Melissa Roslan, 18, yang bercita-cita mahu menyambung pengajian dalam bidang geologi berpendapat, pameran tersebut banyak menawarkan jurusan yang biasa dan tidak terlalu menekankan jurusan yang jarang diambil.

“Saya mencari kolej mahupun institusi yang ada menawarkan jurusan geologi seperti yang saya minati, namun melalui pemerhatian saya, kebanyakan jurusan yang ditawarkan adalah jurusan yang biasa didengari seperti pengajian perniagaan, ekonomi, pengurusan kewangan, pentadbiran dan sebagainya.

“Saya berharap untuk pameran yang akan datang, lebih banyak jurusan lain turut mengambil tempat dalam pameran pendidikan seumpama ini kerana saya pasti ramai pelajar lepasan SPM mempunyai cita rasa tersendiri,” katanya.

Pameran selama dua hari itu bermula 22 Mac hingga 23 Mac (semalam) menyaksikan sebanyak lebih 100 pempamer yang mewakili institusi tempatan mahupun antarabangsa turut serta.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>