
MARTABATKAN PENDIDIKAN: Fatimah menyampaikan cenderamata
kepada Dr Sharples sambil disaksikan tetamu kehormat pada majlis perasmian The Borneo Post International Education Fair (BPIEF) di BCCK, semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
KUCHING: Kerajaan komited sepenuhnya dalam memastikan keperluan pendidikan kanak-kanak berbeza sosiobudaya dan geografi ditangani melalui pelbagai kemudahan infrastruktur, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.
Beliau berkata, melalui Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak dan pengenalan Sekolah K9, kelas prasekolah akan diselaras dan dipantau kualitinya, khasnya bagi kanak-kanak Penan mendapatkan pendidikan.
“Bagi memastikan Orang Asli dan Penan tidak ketinggalan (akibat faktor geografi dan sosiobudaya), kerajaan turut memperkenalkan kurikulum khas melalui pembangunan Kurikulum Orang Asli dan Penan (KAP) serta KEDAP untuk orang dewasa komuniti tersebut.
“Kita turut menyedari kepentingan pendidikan antarabangsa dan sumbangannya terhadap pembangunan sumber manusia, justeru kita memanfaatkan faedah budaya dan sosial yang ada melalui pengalaman tersebut untuk meningkatkan lagi sistem pendidikan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan The Borneo Post International Education Fair (BPIEF) Edisi Kelima di BCCK di sini, semalam.
Fatimah percaya hubungan dan kerjasama institusi pendidikan di seluruh dunia dapat membantu meningkatkan pemahaman antara masyarakat dan budaya.
Paling penting, katanya, ia menyediakan peluang terbaik untuk berkongsi dalam memastikan transformasi pendidikan terlaksana.
“Pelbagai inovasi berjaya dihasilkan dan pembaharuan dalam pendidikan diwujudkan termasuk pengalaman dalam pembangunan negara dapat dikongsi bersama dengan berkesan.
“Dan jika kita betul-betul memanfatkannya, ia boleh diadaptasi dan digunakan dalam persekitaran sosiobudaya yang baharu,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Sarawak berusaha mengatasi cabaran serta melaksanakan pembelajaran menggunakan kaedah ICT agar dapat diperluaskan di negeri ini selaras dengan pemodenan dan teknlologi yang kian berkembang.
Justeru, beliau memuji usaha jawatankuasa BPIEF melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam mengajak masyarakat khasnya sekolah-sekolah, guru serta pelajar tidak kira di Kuching serta dari luar bandar melengkapkan diri mereka dengan perkembangan terbaharu serta pendidikan terkini dari dalam dan luar negara pada pameran tersebut.
Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Maori New Zealand Dr Pita Sharples dalam ucapannya mengharapkan hubungan Malaysia dan New Zealand akan terus berkekalan terutama dalam aspek pembangunan pendidikan.
Menurutnya, sebagai salah sebuah negara yang memiliki sistem pendidikan terbaik dunia, New Zealand menawarkan pelbagai jurusan kepada pelajar Malaysia melanjutkan pengajian.
“Ramai pelajar dari Malaysia yang telah belajar di New Zealand kini berjaya. Ia suatu yang membanggakan kerana bagi kami, kejayaan anak-anak Malaysia yang menuntut di universiti di New Zealand adalah kebanggaan kami juga,” ujarnya.
Pada majlis sama, Fatimah menyampaikan hadiah kepada pemenang Best Booth Design 2013 yang dimenangi oleh Yayasan Sarawak, ACCA (naib juara) dan Education New Zealand (ketiga).
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Operasi Borneo Post dan Utusan Borneo Phyllis Wong, Ketua Borneo Post Online Dorge Rajah dan Pengarang Urusan Kanan The Borneo Post dan Utusan Borneo Francis Chan.