
TEKNOLOGI CANGGIH: Gambar yang dirakam pada 20 Mac menunjukkan pegawai Tentera Udara Diraja Australia, Sarjan Adam Roberts (kiri) dan Sarjan John Mancey melancarkan ‘Self Locating Data Marker Buoy’ dari pesawat C-130J Hercules di selatan Lautan Hindi sebagai sebahagian usaha bantuan Tentera Australia mencari pesawat MAS MH370. Setakat semalam, masih belum ada ‘bukti konkrit’ daripada pencarian dua objek dicerap satelit yang dikatakan mungkin mempunyai kaitan dengan pesawat yang hilang itu. — Gambar AFP
SAR akan diteruskan, tiada sebarang objek berhubung imejan satelit ditemui
SEPANG: Semua aset Malaysia dihantar ke selatan Lautan Hindi belum berhasil menemui sebarang ‘bukti konklusif’ walaupun Australia menerima imejan satelit dua objek yang mungkin berkaitan dengan penerbangan MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Banyak kapal dan pesawat menuju ke arah itu, tetapi tatkala kami bercakap mengenainya ketika ini, pihak berkuasa masih belum menemui apa-apa yang konkrit,” katanya kepada pemberita di lobi Hotel Sama-Sama di sini semalam.
Bagaimanapun, Hishammuddin berkata semua laporan dan sebarang petunjuk perlu diteliti dengan terperinci dan konsisten bagi memastikan semua petunjuk diperakui dan disahkan.
Ditanya sama ada pihak berkuasa Malaysia berharap untuk mendapatkan maklum balas daripada rakan sejawatan Australia, beliau berkata:
“Kami mendapat maklum balas secara tetap dan sentiasa memantaunya sejak sidang akhbar terakhir. Setakat ini, mereka masih belum menemui apa-apa serpihan tetapi anda perlu hargai bahawa pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang melakukan pencarian di kawasan yang luas.”
Menegaskan keadaan cuaca turut memainkan peranan penting dalam operasi mencari dan menyelamat, Hishammuddin memberikan jaminan bahawa kapal P-8A Poseidon dan pesawat P3 Orion adalah antara aset paling canggih dalam operasi itu.
“Usaha ini membabitkan pelbagai negara. Saya mendapat sokongan dan doa daripada seluruh dunia, dan ini memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan SAR.
“Usaha ini melampaui sempadan bangsa, agama dan merupakan kerjasama dalam kalangan negara-negara,” katanya. Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan bahawa SAR tetap diteruskan walaupun selepas 30 hari, iaitu tempoh kotak hitam bertahan kerana ada teknologi lain yang boleh digunakan untuk usaha itu.
Berdasarkan maklumat pasukan Perancis yang terlibat dalam pencarian pesawat Air France 447 yang mengambil masa dua tahun, beliau berkata ada teknologi yang boleh digunakan dalam operasi itu selepas 30 hari.
Beliau menegaskan bahawa pencarian pesawat itu adalah usaha yang berpanjangan.
“Kita akan teruskan, kita masih bersemangat untuk mencari dan menyelamat (pesawat itu),” katanya.
Namun, beliau terus berharap dan berdoa agar pesawat itu dapat ditemui sebelum tempoh 30 hari.
Pasukan Agensi Keselamatan Penerbangan Perancis (BEA), yang diketuai Jean Paul Trodec, tiba di sini Isnin lepas untuk membantu pasukan penyiasatan antarabangsa yang diketuai Malaysia mencari pesawat MH370 dengan tumpuan di dasar laut.
Menurut BEA, kotak hitam pesawat Air France 447 yang terbabit dalam nahas udara pada 2009 hanya ditemui dua tahun selepas tragedi itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin membidas wakil media asing yang bukan sahaja sering mengerumuninya tetapi juga berasak-asakan ketika mahu mendapat perkembangan terkini mengenai kehilangan MH370 daripada beliau.
Hishammuddin berkata kelakuan sedemikian menyebabkan jurukamera dan jurugambar gagal mendapat rakaman yang baik sekali gus memberi tanggapan tidak elok terhadap Malaysia.
“Kalau kalian mahu berkelakuan begini, kalian akan memperoleh visual yang tidak elok yang pada pandangan saya seluruh dunia akan persalahkan pada pihak berkuasa Malaysia. Ini tidak adil,” katanya.
Hishammuddin yang tiba di hotel itu sekitar jam 3 petang ‘diterjah’ oleh wakil media asing yang menunggu di lobi sejak pagi. Kawasan pencarian MH370 kini diperluaskan meliputi kawasan di barat Malaysia termasuk Lautan Hindi setelah pesawat itu melencong dari laluan asal selepas seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu.
Menurut satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
Usaha pencarian kini ditumpukan kepada dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand serta koridor selatan yang meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
Penerbangan Malaysia Airlines MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam sebelumnya. Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. — Bernama