Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Daftar di CAE Sunway TES jika mahu jadi akauntan bertauliah

$
0
0

KUCHING: Lebih ramai lepasan sekolah atau individu yang ingin menjadi akauntan bertauliah diseru mendaftar di Pusat Kecemerlangan Perakaunan (CAE) Sunway TES bagi mencapai sasaran melahirkan 5,500 graduan dengan kelayakan profesional menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Sunway Kuching Joseph Lim berkata, institusi pengajian tinggi itu menerima pengiktirafan apabila dilantik oleh Sunway-TES Sdn Bhd untuk menjadi CAE bagi Sabah dan Sarawak untuk menyelesaikan masalah kekurangan akauntan bertauliah.

Katanya, Sunway-TES dianugerahkan CAE di bawah Projek Permulaan 17: Transformasi Malaysia Sebuah Hab Perakaunan Terkemuka Serantau di Rantau Asia Pasifik oleh Unit Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

“Sasaran (5,500) itu mampu dicapai jika kita dapat melahirkan 100 graduan setahun, bersama CAE Kolej Sunway Kuala Lumpur yang melahirkan 600 graduan setiap tahun dan tiga CAE lain di negara ini sebelum 2020.

“Kami ingin menyeru penyertaan kalangan Bumiputera kerana daripada 600 akauntan bertauliah yang berdaftar di Sarawak, hanya 2.58 peratus adalah Bumiputera,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Song Plaza di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Pemasaran Kolej Sunway Kuching Victor Loong.

Lim berkata selain melahirkan 5,500 graduan dengan kelayakan profesional menjelang 2020, antara teras utama CAE adalah menjalin usaha sama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dengan menggabungkan kelayakan profesional ke dalam program ijazah perakaunan.

Jelasnya, Kolej Sunway telah menjalin kerjasama dengan Politeknik Kuching dan melihat kemungkinan untuk bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selain itu, CAE turut menekankan pembangunan kapasiti menerusi perkongsian pengetahuan antara pensyarah daripada IPTA dan IPTS melalui forum serta seminar.

“Kolej Sunway Kuching juga bekerjasama dengan pelbagai yayasan untuk menggalakkan lebih ramai bakat meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan dan kewangan melalui program biasiswa Skim Latihan dan Pendidikan  Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) Yayasan Sarawak dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (TERAJU),” katanya.

Skim untuk Certified Accounting Technician (CAT) dan ACCA itu yang dilancarkan Mac lepas katanya, ditawarkan eksklusif kepada lepasan sekolah Bumiputera di mana bantuan kewangan akan diberikan untuk yuran pendaftaran, yuran semester, langganan tahunan serta yuran peperiksaan.

Di samping itu, biasiswa Yayasan Pendidikan Teknikal Rakyat Sarawak (TERAS) turut ditawarkan khusus buat pelajar Dayak bagi meneruskan program Diploma Perakaunan di kolej tersebut dan setakat ini, 10 pelajar telah didaftarkan di bawah skim tersebut.

Kolej Sunway Kuching telah memenuhi kriteria untuk dinaik taraf ke status ‘PLATINUM’, di mana ia merupakan status tertinggi dianugerahkan oleh ACCA kepada institusi pengajian.

“Pada tahun lepas hasil kejayaan Kolej Sunway Kuching mempertahankan prestasi cemerlang sebagai penyedia ACCA, ACCA United Kingdom memberi anugerah ‘Student Tuition Gold Status’ dan kami adalah institusi pertama di Malaysia Timur menerima anugerah sedemikian,” katanya.

Orang ramai turut dipelawa mengunjungi Hari Terbuka Kolej Sunway Kuching di Plaza Song pada Sabtu dan Ahad ini dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Kolej Sunway Kuching 082-451221 atau berkunjung ke kampus kolej di Song Plaza, Jalan Song, di sini.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>