
KAMI BANTAH: Wakil penduduk Asajaya melakukan protes terhadap pemberian milikan tanah di kawasan itu.
Penduduk Asajaya bantah pemberian tanah kepada syarikat dari Semenanjung Malaysia
ASAJAYA: Tindakan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) Sarawak yang mahu menyerahkan pemilikan sebidang tanah kepada pemaju yang dimiliki ‘orang luar’ dikecam penduduk di sini.
Menurut jurucakap penduduk, tanah seluas lebih 10,000 ekar itu dahulunya digazet sebagai kawasan tadahan hujan.
Namun, selepas Empangan Bengoh di Padawan siap dibina, gazed tanah itu dipinda dan membolehkan tanah terbabit dibangunkan.
“Kami penduduk Asajaya amat kesal dengan tindakan pihak PELITA menyerahkan tanah ini kepada orang luar berbanding orang tempatan sendiri untuk membangunkannya.
“Sebagai sebuah badan yang melindungi dan membangunkan tanah di negeri ini, kami membantah sepenuhnya pemberian tanah Lot 1752 Block Muara Tuang Land District kepada pemaju luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan bantahan secara aman yang disertai lebih 10 wakil penduduk yang turut disertai pemimpin-pemimpin masyarakat di pasar Asajaya di sini semalam.
Antara luahan penduduk yang tertera di sepanduk ialah ‘Kami Bantah’ dan ‘Pemberian Tanah Lot 1752 Block Muara Tuang Land District Kepada Syarikat Luar’.
Jurucakap penduduk turut menyifatkan pemberian pemilikan kepada pemaju luar dilihat mengetepikan orang tempatan khasnya.
“Kami difahamkan tanah ini akan diberikan kepada pemaju Zikir Cahya Plantation Sdn Bhd iaitu syarikat luar kepunyaan individu dari Semenanjung Malaysia.
“Kami berasa terkilan dengan tindakan pihak PELITA ini, sepatutnya orang tempatan diberi keutamaan bukannya sewenang-wenangnya diberikan kepada orang luar,” tegasnya.
Justeru, penduduk Asajaya meminta pihak PELITA meneliti semula pemberian pemilikan tanah itu supaya ekonomi masyarakat tempatan dapat ditingkatkan selari dengan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi masyarakat luar bandar.