KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin usaha membangunkan kawasan Santubong sebagai antara hab pelancongan terkenal di Sarawak dapat direalisasikan dengan sokongan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
Beliau berkata sektor pelancongan berpotensi dimajukan di Santubong kerana kawasan itu memiliki keindahan serta keunikan alam semula jadi selain kaya dengan produk ekopelancongan.
Menurutnya bagi tujuan itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri dalam waktu terdekat ini bagi membincangkan lebih lanjut perkara tersebut.
“Semua orang tahu Santubong amat kaya dengan produk pelancongan yang menjadikannya antara hab pelancongan terkenal di Sarawak.
“Saya percaya kalau sektor pelancongan dapat dibangunkan dengan agresif di Santubong, ia akan membangunkan kawasan itu dalam aspek lain seperti infrastruktur dan sosioekonomi rakyat setempat.
“Tidak mustahil ini dapat dicapaikan memandangkan Ketua Menteri (Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem) merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu dan sudah tentu beliau akan memberi sokongan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi kawasan DUN Pantai Damai dan Demak Laut di Dewan Produktiviti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Demak Laut di sini semalam.
Wan Junaidi yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, kejayaan Ketua Menteri terdahulu Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membangunkan bahagian Samarahan dan Mukah membuktikan bahawa kawasan pinggir kota besar seperti Santubong dapat dimajukan.
Justeru, beliau meminta semua ketua kaum di kawasan Parlimen Santubong mengemas kini profil kampung masing-masing kerana maklumat yang dikumpul akan dijadikan panduan pembangunan di situ.
Sementara itu pada sidang media selepas majlis itu, Wan Junaidi berkata, pemberian BR1M siri ketiga yang turut disertakan insurans membuktikan kerajaan serius mahu membantu rakyat berpendapatan rendah dalam semua sudut.
“Kita cukup yakin kerajaan akan memberi BR1M secara berterusan sehinggalah ke satu peringkat rakyat tidak lagi memerlukan bantuan seumpama ini dengan kata lain mereka mencapai pendapatan tinggi,” katanya.
Beliau menambah, tahun ini seramai 17,000 penerima BR1M yang layak menolak pemberian itu kerana mereka sudah mendapat pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini.
Seramai 3,388 penerima BR1M 3.0 bagi DUN Pantai Damai serta Demak Laut dan pada majlis itu seramai 125 penerima menerima baucar masing-masing dengan 41 daripadanya merupakan warga emas.
Hadir sama ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan Pegawai Daerah Kuching Mahri Sarkawi.