
LEBIH MUDAH: Mohamad Morshidi (tengah) ketika meninjau kawasan pembinaan PMA di Lorong Bangau 3, Kampung Bangau, di Kuching, semalam.
Juga dikenali sebagai Perparitan Mesra Alam (PMA) menggantikan parit konkrit
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kini memperkenalkan sistem E-Drain atau lebih dikenali sebagai Perparitan Mesra Alam (PMA) sebagai sistem parit alternatif menggantikan parit konkrit yang biasa digunakan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, PMA direka bentuk bukan sahaja berfungsi sebagai struktur perparitan saliran air tetapi juga sebagai struktur rawatan air.
“Selain bertindak sebagai sistem saliran air, PMA juga berfungsi sebagai penyerap serta perawat air.
“Ia dapat membantu mengurangkan kadar alir puncak serta menjadikan air lebih bersih sebelum memasuki sistem sungai,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak PMA yang julung kali dilaksanakan di negeri ini iaitu di Lorong Bangau 3, Kampung Bangau, di sini, semalam.
Beliau berkata, pembinaan PMA juga disifatkan lebih murah sebanyak 30 peratus berbanding pembinaan sistem perparitan konkrit yang biasa digunakan yang memakan belanja lebih mahal.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa pembinaan PMA juga harus dilihat daripada aspek kesesuaian tanah sesuatu kawasan itu.
“Kampung Bangau dipilih sebagai tapak percubaan untuk sistem parit alternatif ini kerana tanah di kawasan terbabit merupakan tanah gambut serta mempunyai kandungan air yang tinggi.
“Komponen PMA ialah penggunaan ‘hollow silinder’ yang ditanam dengan rumput yang sedia ada di sekeliling parit yang telah ditebuk selain turut menjimatkan kos berbanding penggunaan sistem parit konkrit yang jauh lebih mahal,” katanya.
Selain mesra alam sekitar, Morshidi berkata, PMA juga memberi peluang kepada tumbuhan serta hidupan air seperti ikan untuk terus hidup di dalam parit yang bersih.
Katanya suatu sistem perangkap turut akan dibina sama pada PMA bertujuan untuk memerangkap sampah- sarap atau apa jua objek yang boleh menyebabkan parit itu tersumbat.
“Apabila perangkap itu sudah dipenuhi sampah-sarap, mereka (komuniti) akan membersihkan perangkap itu sebelum air bersih dapat terus mengalir ke sungai”, tambahnya.
Terdahulu, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai ketika diminta mengulas mengenai cabaran PMA berkata, projek berasaskan komuniti itu seharusnya mendapat sokongan penuh daripada masyarakat setempat.
“Cabaran lebih tertumpu kepada penglibatan komuniti itu sendiri dalam berganding bahu serta turut sama membantu pekerja lain membina parit ini di hadapan kediaman masing-masing.
“PMA mudah dipasang dan tidak memerlukan ‘formwork’, justeru, masyarakat setempat boleh sama-sama membina parit ini bagi kebaikan bersama,” katanya.
Selain itu katanya, pembinaan PMA sejajar dengan Pelan Penambahbaikan 2013-2017 oleh DBKU yang bertujuan mempromosi bandar raya ini sebagai bandar Cantik, Bersih dan Selamat (CBS).
PMA mula diperkenal pada 2005 dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) di Semenanjung Malaysia dan baharu sahaja diperkenal di Sarawak sebagai negeri pertama di Malaysia Timur menggunakan sistem parit yang sama.
Syarikat yang memperkenal sistem PMA di sini sekali gus melaksanakan projek perintis itu ialah Asmana (Sarawak) Sdn Bhd, sebuah syarikat berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Pembinaan sistem PMA lebih mengutamakan kesan kepada alam sekitar sebagai parameter utama kajian inovasi itu.
Antara kebaikan PMA ialah tidak mengganggu struktur bangunan berdekatan memandangkan pemasangannya tidak memerlukan jentera berat, boleh dipindahkan ke tempat lain sekiranya terdapat perubahan pada tempat, boleh mengikut aliran parit tanah sedia ada serta dapat mengelakkan daripada banjir kilat.