KUCHING: Artis Bidayuh digesa memasukkan satu atau dua lagu bahasa Malaysia dan Inggeris dalam album selain daripada lagu bahasa ibunda mereka sebagai strategi untuk memperluas pasaran mereka.
Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem, pengeluaran album keseluruhan dalam bahasa Bidayuh hanya akan mewujudkan pasaran kecil berbanding seluruh populasi di Malaysia.
“Populasi masyarakat Bidayuh hanya 200,000 berbanding lebih dua juta populasi keseluruhan rakyat negeri ini. Ini bermaksud, pasaran sangat kecil.
“Kalau pasaran besar dan meluas, kita dapat menampilkan muzik Bidayuh kepada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Artis dan Pemuzik Bidayuh (BAMA) untuk Festival Muzik Bidayuh (BMF) 2016 di sini, malam kelmarin.
Katanya perkara itu juga boleh mengakibatkan muzik Bidayuh tidak dapat berkembang laju, tetapi sekiranya artis Bidayuh dapat menampilkan lagu dalam pelbagai bahasa, ia boleh meningkat serta mengembangkan pasaran, selain meningkatkan keuntungan.
“Kalau kita boleh lakukan ini, saya percaya industri muzik Bidayuh tidak hanya berkembang bahkan kita juga boleh berbangga pada masa akan datang.
“Selain itu, kegiatan cetak rompak yang wujud dalam industri seni juga dapat dibantutkan.
“Sejak 2010 hingga 2015, industri muzik Bidayuh mencatat kerugian sehingga RM4.3 juta akibat cetak rompak,” tegasnya.
Kegiatan tidak bermoral itu harus dihentikan kerana sekiranya ia berterusan, industri muzik Bidayuh akan hancur.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Artis dan Muzik Dayak (DAMA) Dr Alim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan.