KUCHING: Bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kini dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri membuat keputusan bijak memilih Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem sebagai penggantinya kerana beliau seorang yang ‘berakal dan berani.’
Bekas timbalan ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang pernah bekerja rapat dengan Adenan selama beberapa tahun Datuk Peter Minos berkata, Adenan mempunyai semua kelayakan untuk menjadi Ketua Menteri yang baharu dari segi pengalaman, pendedahan, bakat, kepakaran dan keberanian untuk menghadapi sebarang masalah dan krisis.
“Adenan juga mempunyai hubungan yang kukuh dengan Putrajaya dan ia adalah perkara penting dalam membangunkan Sarawak, selain mengetahui bagaimana sistem persekutuan berfungsi yang pastinya menghubungkan jalinan kerjasama baik antara Kuching dan Putrajaya.
“Saya yakin bahawa Adenan akan meneruskan jalinan erat itu. Beliau tahu realiti dan akan mengekalkan hubungan yang baik dengan kerajaan persekutuan,” katanya.
Minos menambah, Sarawak memerlukan keamanan berterusan, kestabilan dan keharmonian antara kaum yang mana Adenan boleh memberi jaminan memandangkan kebolehan, kekuatan dan wataknya.
“Pembangunan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan projek-projek mega di Sarawak mesti diteruskan dan diperbaiki untuk kebaikan negeri ini.
“Adenan, dengan penasihat ekonomi yang baik dan cekap beliau, akan melakukan tugas itu dengan berkesan,” tegasnya.
Walaupun pembangunan ekonomi diberi tumpuan, Minos percaya bahawa tidak akan terjadi krisis politik di negeri ini.
Malah, menurutnya Adenan mempunyai idea yang bernas dan strategi dalam merancakkan pembangunan dan ekonomi rakyat Sarawak.
“Taib telah menubuhkan satu asas ekonomi dan politik yang benar-benar kukuh untuk Sarawak selepas mengetuai negeri untuk 33 tahun.
“Beliau boleh dikatakan sebagai Bapa Pemodenan Sarawak yang meletakkan Sarawak dalam peta Malaysia dan kini beliau membuat satu langkah bijaksana dengan melantik Adenan sebagai Ketua Menteri baharu. Kami berterima kasih kepada Taib,” ujarnya.