KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol masih merupakan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri sekali gus menolak spekulasi bahawa beliau mungkin akan digantikan dengan muka baharu selepas peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri.
Abdullah ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri di Astana Negeri semalam bagaimanapun enggan mengulas mengenai spekulasi tersebut dan meminta persoalan itu diajukan kepada Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini, lebih baik jika anda bertanyakan sendiri kepada Ketua Menteri tetapi apa yang pasti saya masih lagi Ketua Setiausaha Politik buat masa ini,” katanya ringkas.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah berkata beliau dan rakan-rakan Setiausaha Politik yang lain akan meneruskan khidmat mereka sepertimana yang ditunjukkan selama ini di bawah Pehin Sri Taib.
“Kami akan meneruskan momentum tetapi turut menjangkakan sedikit pembaharuan terutama dalam menjalankan tugas.
“Ini kerana saya telah pun di-arahkan untuk mengadakan taklimat bersama Adenan pertama mengenai Setiausaha Politik dan seterusnya Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN),” katanya.
“Saya dapat rasakan bahawa dari segi cara kerja mungkin akan dikemaskinikan lagi lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya akan datang,” ujar Abdullah.
Dalam pada itu, setakat ini terdapat seramai 29 orang Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dengan majoritinya daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selain Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Abdullah turut memberitahu bahawa kemungkinan akan adanya pertambahan bilangan Setiausaha Politik terutama membabitkan wanita, manakala beberapa daripada mereka yang akan tamat tempoh perkhidmatan tahun ini akan dikekalkan sehingga tahun depan.