KUCHING: Rancangan mengadakan perhimpunan haram untuk membantah pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri yang didalangi pembangkang terus mendapat bantahan.
Terbaharu, Exco Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Richard Silo dan Ketua Pemuda PBB Ba’ Kelalan Cristopher Lisong membantah rancangan itu yang disifatkan sebagai usaha memecah belah rakyat Sarawak.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam mereka berkata, Yang di-Pertua Negeri adalah lambang penyatuan rakyat tanpa mengira fahaman atau ideologi politik serta agama.
Menurut mereka, perhimpunan haram merupakan pendekatan ‘gila’ yang diambil pihak pembangkang untuk menghancurkan negeri ini.
“Kami bersetuju dengan gesaan Abdullah Saidol (Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri) dan Pandi Suhaili (bekas Naib Ketua Pemuda PBB) agar rakyat negeri ini tidak menyertai perhimpunan haram (hari ini).
“Ini kerana ia (perhimpunan haram) adalah bertujuan untuk memecah belah rakyat negeri ini,” kata mereka.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Taib sebagai Yang di-Petua Negeri, mereka menjelaskan, pelantikan itu bukan dibuat golongan minoriti sebaliknya majoriti rakyat Sarawak.
“Ia membawa makna majoriti rakyat negeri ini mahukan Pehin Sri Taib menjadi Yang di-Pertua Negeri,” ujarnya lagi.