Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Subsidi RM30,000 beli rumah kos rendah disokong

$
0
0

KUCHING: Keprihatinan kerajaan memberikan subsidi maksimum RM30,000 kepada pembeli rumah kos rendah yang dibina di bawah skim MyHome baru-baru ini mendapat pelbagai respons daripada rakyat.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati rata-rata rakyat daripada golongan belia terutama yang baharu mula bekerja dan berpendapatan rendah melahirkan rasa gembira dengan pengumuman oleh Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Negara di Putrajaya, baru-baru ini.

Bagi Yuzar Azzuriani Senin, 25, pemberian subsidi tersebut sememangnya membantu golongan belia berpendapatan rendah sepertinya untuk memiliki rumah sendiri.

“Saya gembira dengan pengumuman subsidi yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu.

“Ternyata, hasrat golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri tercapai,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Namun begitu, Yuzar merasakan jumlah rumah yang dikeluarkan itu terlalu sedikit iaitu hanya 10,000 unit bagi tahun ini.

“Tidak semua rakyat dapat menerima subsidi tersebut memandangkan hanya 10,000 unit rumah tahun ini dengan jumlah peruntukan RM300 juta bermula April nanti.

“Malah, kaedah ‘siapa cepat dia dapat’ digunakan untuk subsidi tersebut.

“Justeru, saya berharap agar subsidi ini dapat diteruskan dan ditingkatkan lagi bilangan penerimanya pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Augustine Rudu Francis Dampa, 26, memberitahu, bantuan tersebut sememangnya menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

Tetapi jelasnya, subsidi tersebut menyukarkan sesetengah pihak melalui syarat-syarat yang ditetapkan.

“Antara syaratnya ialah pembeli memerlukan sokongan daripada pemimpin di satu-satu kawasan untuk mengenal pasti penerima yang benar-benar layak.

“Pastinya syarat ini menyukarkan sesetengah pihak contohnya bagi mereka yang tinggal di bandar untuk meminta sokongan daripada pemimpin di kawasannya,” jelasnya.

Walaupun begitu, Augustine memberitahu bahawa penerima atau rakyat tidak seharusnya menjadikan perkara tersebut sebagai isu kerana niat kerajaan adalah untuk membantu rakyat.

“Oleh itu, bagi yang mendapat subsidi ini nanti tahniah dan paling penting jangan lepaskan peluang untuk mencuba,” katanya.

Selain syarat memerlukan pemohon berpendapatan kurang RM3,000, pembeli bagaimanapun dilarang menjual rumah yang dimaksudkan dalam tempoh 10 tahun.

MyHome merupakan antara inisiatif kerajaan yang dibentang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Belanjawan 2014 bagi memastikan hasrat membina satu juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun tercapai.

Program berkenaan menyasarkan 10,000 unit rumah tahun ini dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

Manakala subsidi yang diperuntukkan di bawah skim MyHome akan dibayar terus ke akaun pemohon yang layak supaya tidak perlu mengeluarkan wang pendahuluan semasa membeli rumah.

Pemaju juga boleh memohon untuk dipertimbangkan ke program ini oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan apabila diluluskan, mereka boleh mengiklankan unit-unit yang layak diberi subsidi.

Dari segi pembayaran, kerajaan akan membayar terus kepada pemaju.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>