
TEGAS: Asfia berucap di hadapan lebih 1,000 penduduk yang hadir dan berhimpun di Rumah Edward Ganie, di Sungai Temang, Bakong.
MIRI: Barisan Nasional (BN) Sarawak mahu menawan sekurang-kurang 54 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan menguatkan dan mengembalikan semula sokongan untuk BN di peringkat akar umbi.
Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang juga speaker DUN berkata usaha untuk memenangi semula hati rakyat, sebagai persediaan utama menghadapi PRN akan datang, sedang giat dilakukan di setiap pelosok negeri, hingga ke akar umbi.
“Ini kerana keutamaan kita ialah untuk memastikan kita berjaya mempertahankan semua kerusi yang telah dimenangi dan pada masa yang sama menguat serta meningkatkan sokongan di peringkat akar umbi,” katanya sambil menambah ia termasuk bagi kerusi-kerusi yang pernah dimenangi pembangkang pada pilihan raya yang lepas.
Bercakap kepada lebih 1,000 penduduk yang berhimpun di Rumah Edward Ganie di Sungai Teman, Beluru, dekat sini malam kelmarin, Asfia berkata penyandang kerusi BN yang mempunyai sokongan padu di peringkat akar umbi akan dikekalkan pada PRN akan datang.
“Mereka yang mempunyai sokongan amat baik di peringkat akar umbi akan dikekalkan dan bagi kerusi di Marudi, penyandangnya, Datuk Sylvester Entri (ADUN Marudi) yang juga Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) tentunya akan dikekalkan bagi memastikan kemenangan BN.
“Malah dengan mengembalikan semula sokongan daripada akar umbi ini, kita mahu memastikan kemenangan dengan majoriti yang besar di Marudi, memandangkan kita hanya menang tipis sahaja di kerusi Baram pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas,” tambahnya.
Menurut Asfia lagi, dengan jawatan menteri muda yang disandang oleh Entri ketika ini, ia amat penting bagi konstituensi Marudi dan pemilihan semula Entri sebagai calon kerusi itu pada PRN akan datang, akan memastikan pembangunan berterusan termasuk ke arah membangunkan sosioekonomi di Marudi.
Dalam perkembangan yang sama, Asfia berkata, kesemua wakil daripada enam daerah mengundi di Marudi telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada BN dan meminta agar penyandang kerusi tersebut dikekalkan sebagai calon BN kelak.
Selain Marudi BN juga katanya, mahu menguatkan sokongan di Telang Usan dan konstituensi yang lain di utara negeri ini, yang berdepan dengan pilihan raya amat sengit pada PRU lepas.
Dalam pada itu, Entri yang terkejut dengan sokongan tidak berbelah bahagi yang mahukan beliau terus diberi mandat untuk mempertahankan kerusi Marudi, berkata ia merupakan penghargaan dan tanggungjawab beliau untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Marudi dan membangunkan keperluan penduduknya.
Dalam pada itu wakil penduduk yang hadir pada majlis pemimpin bersama rakyat itu, turut menyampaikan mesej yang jelas iaitu tiada calon BN lain di Marudi selain Entri pada pilihan raya akan datang, bagi meneruskan agenda pembangunan rakyat.
Turut hadir ADUN Telang Usan Dennis Ngau, ADUN Jemoreng Abu Seman Jahwie serta Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Richard Wil Uban dan lebih 80 pemimpin masyarakat termasuk ketua kaum.