Tidak akan campuri urusan pentadbiran kerajaan diketuai Adenan
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberi jaminan beliau tidak akan campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri yang bakal diketuai Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem meskipun setelah beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri.
Taib yang akan meletak jawatan berkuat kuasa 28 Februari ini berkata peranan dan fungsi Yang di-Pertua Negeri adalah untuk memberi nasihat jika Ketua Menteri memerlukannya.
“Sesebuah negeri cuma ada seorang ketua dan orang itu ialah Ketua Menteri (Adenan). Nasihat saya bukan mandatori yang perlu dituruti oleh kerajaan.
“Nasihat saya sekadar pendapat (itu pun) sekiranya Adenan memerlukannya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Adenan yang kini merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima pada 28 Februari ini, manakala Taib dicadangkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi Yang di-Pertua Negeri menggantikan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.
Taib yang mengumumkan persaraannya pada 8 Februari lepas berkata lagi, beliau yakin telah melahirkan barisan pemimpin pelapis yang berkualiti dalam Barisan Nasional.
“Saya yakin akan lahir lebih ramai YB berkualiti, malah ia dapat kita saksikan setiap kali pilihan raya diadakan kita mengetengahkan barisan pemimpin muda,” katanya.
Jaminan beliau untuk tidak campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri mulai 1 Mac ini juga ditegaskannya apabila diajukan soalan kedudukan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg selepas eksekutif negeri diketuai Adenan kelak.
Wujud khabar angin menyatakan Timbalan Presiden PBB yang juga Menteri Pelancongan itu akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri kedua selain yang disandang Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang pada masa kini.
“Itu terpulang kepada Ketua Menteri (Adenan) kelak,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata pemimpin PBB tidak mengutamakan jawatan dan kedudukan semata-mata, sebaliknya mempunyai keinginan untuk berkhidmat dan menyumbang terhadap pembangunan negeri dan rakyat.
Abang Johari sebelum ini merupakan antara tiga calon selain Adenan dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk dilantik sebagai pengganti Taib.
Mengenai Jabu, Taib berkata beliau amat mengagumi kegigihan timbalannya itu untuk bersama-sama membangunkan negeri ini pada tahap sekarang.
Sambil menyifatkan Jabu sebagai lebih daripada ‘orang kanan’, beliau berkata Timbalan Presiden PBB itu telah berupaya membawa masuk ramai barisan kepimpinan baharu di kalangan Dayak ke dalam kerajaan.
“Beliau tahu bagaimana hendak menghadapi isu sensitif berkaitan hubungan antara kaum,” katanya.
Mengenai sokongan masyarakat Cina yang kian merosot terhadap Barisan Nasional (BN) apabila kerusi kawasan majoriti Cina kini dikuasai parti-parti pembangkang, beliau berkata SUPP perlu memberi lebih banyak ruang kepada golongan muda dalam parti.
Menurutnya kemerosotan sokongan itu bukan menggambarkan bantahan terhadap BN tetapi generasi muda Cina mahu melaksanakan peranan lebih besar dalam negeri ini.
“Saya telah memberi nasihat agar SUPP memberi ruang lebih banyak kepada generasi muda tetapi mungkin mudah untuk memberi nasihat dan pelaksanaannya mungkin sukar,” ujarnya.