
MASIH MENCARI: Kelihatan pasukan polis dan JPAM menggunakan bot penyelamat JPAM sedang mencari mangsa yang jatuh dari tongkang pasir.
MUKAH: Warga Myanmar yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari sebuah tongkang pasir pada lewat malam 18 Februari lepas masih belum dijumpai, justeru operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan pada hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Omar Bakhtiar Yacoob, kejadian tersebut berlaku antara jam 11.00 hingga 11.30 malam (18 Februari 2014) di kawasan perairan Tanjung Pedada, Batang Mukah.
Insiden tersebut dilaporkan kepada pihak polis pada jam 1.21 petang (19 Februari 2014).
Omar mengesahkan bahawa mangsa adalah seorang lelaki iaitu Nay Lin Tun, 30, yang bekerja di salah sebuah syarikat di sini sebagai kelasi kapal tunda sejak setahun lepas.
Omar memberitahu, menurut saksi kejadian iaitu rakan sekerja mangsa Aung Ko Paing yang juga rakyat Myanmar, mangsa sedang mengikat tali di atas bot yang sedang bergerak dan secara tiba-tiba mangsa terjatuh dan terus tidak kelihatan.
“Setelah mengetahui manga telah jatuh dari tongkang, Aung dan rakan sekerja yang lain berusaha untuk mencari mangsa pada malam kejadian namun usaha mereka mencari mangsa gagal,” katanya.
Pada keesokan harinya (19 Februari) pasukan penyelamat telah melancarkan operai mencari dan menyelamat mangsa dengan serta-merta pada jam 2.35 petang menggunakan bot penyelamat oleh pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Bagaimanapun, pasukan penyelamat gagal mencari mangsa sehingga operasi disambung semula pada hari ini (semalam) yang bermula jam 7 pagi dan operasi semalam dihentikan sekitar jam 5.30 petang.