KUCHING: Padah mempercayai wanita yang kurang sebulan dikenali menerusi laman sosial, seorang jurutera terpaksa berputih mata dan mengalami kerugian lebih RM60,000.
Menurut sumber, wanita berkenaan memintanya mengirimkan sejumlah wang bagi membolehkan barang yang kononnya dikirimkannya kepada lelaki berusia 38 tahun itu dilepaskan oleh kastam.
Wanita sama turut meminjam wang sekitar RM30,000 daripada mangsa dan memintanya memasukkan wang itu ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama orang lain.
Wanita berkenaan terus meminta lelaki berkenaan memasukkan sejumlah wang lagi dengan alasan wang yang dipinjamkan tidak mencukupi.
Lelaki dari Jalan Arang itu mula mengesyaki dirinya ditipu namun wanita berkenaan mengugut akan menyuruh polis ke rumah mangsa kerana berurusan dengan dadah.
Sumber turut memberitahu, lelaki berkenaan turut berkenalan dengan seorang lagi wanita.
Wanita berkenaan dikatakan meminta mangsa mengirim duit sebanyak RM300, juga untuk tujuan, kononnya pelepasan kastam.
Lelaki berkenaan yang sekali lagi dikatakan tidak mengesyaki apa-apa terus mengirimkan wang berkenaan, sekali lagi ke dalam akaun bank milik orang tidak dikenali.
Wanita kedua itu turut meminta wang RM30,000 untuk didepositkan ke tiga akaun berbeza.
Dia hanya menyedari dirinya ditipu sekali lagi setelah wanita terbabit menyatakan duit kiriman itu tidak mencukupi.
Dia kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.