KUCHING: Pada tahun 2013, bilangan penerima bantuan kebajikan di negeri ini adalah seramai 56,072 orang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM164,177,135.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, daripada jumlah itu, penerima di Kuching adalah seramai 7,925 orang melibatkan perbelanjaan RM19,869,625.
Katanya perkara ini jelas menunjukkan tumpuan khusus yang diberikan oleh kerajaan menerusi kementerian bagi membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.
“Pihak kementerian selama ini amat komited dalam usaha memastikan kebajikan rakyat dijaga sepenuhnya dan mengagihkan bantuan sebaik mungkin agar ia sampai ke golongan sasar yang tinggal di seluruh negara termasuk di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena lawatannya ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam.
Tambahnya, pada tahun ini (2014) pula, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bantuan kebajikan diperuntukkan sebanyak RM1.28 bilion bagi seluruh Malaysia.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM45,932,000 disalurkan kepada Sarawak.
“Antara bantuan yang diberikan termasuk bantuan untuk kanak-kanak, warga emas, elaun pekerja cacat, bantuan penjagaan orang kurang upaya (OKU), pesakit kronik terlantar, bantuan OKU tidak berupaya bekerja dan bantuan am,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha JKM Sarawak menggunakan sistem semakan status penerima setiap tiga bulan sekali bagi mengumpul maklumat terkini penerima bantuan.
Katanya sistem tersebut patut digunakan oleh jabatan di negeri lain bagi mengelakkan waris atau ahli keluarga menerima bantuan tersebut walaupun penerima bantuan telah meninggal.
“Semakan status ini penting agar pihak terbabit dapat mengenal pasti sama ada penerima itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.
“Ini kerana terdapat kes individu yang sudah meninggal dunia tidak dilaporkan dan bantuan terus disalurkan selain mereka sudah tidak layak terus menerima bantuan.
“Oleh itu, saya menasihati keluarga atau waris penerima memberitahu jabatan sekiranya penerima bantuan sudah tiada bagi mengelak mereka membayar (mengganti) wang yang telah digunakan itu,” jelasnya.
Selain itu jelasnya, JKM turut bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan rangkaian secara talian dikenali Agency Link Up System (ALIS) bagi mengenal pasti penerima yang telah meninggal dunia.
Dalam perkembangan lain, Rohani menjelaskan, kemudahan tiga Anjung Kasih yang masing-masing terletak di HUS, Hospital Miri dan Hospital Sibu diharap dapat membantu masyarakat terutama golongan kurang berkemampuan atau pesakit yang akan menerima rawatan lama di hospital.
“Anjung Kasih di HUS merupakan paling besar di Malaysia dengan kapasiti 90 katil (90 orang).
“Konsep Anjung Kasih adalah bagi memberi keselesaan kepada golongan yang memerlukan ditentukan oleh pihak hospital melalui jawatankuasa yang dilantik untuk mengatur dan memantau Anjung Kasih tersebut,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) Abang Shamshudin Abang Seruji, Timbalan Pengarah JKMNS Zainal Taram, Timbalan Pengarah Klinikal HUS Dr Norinawaty Abang Daud dan Ketua Penyelia Jururawat HUS Sa-Reah Wahet.