KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyuarakan sokongan sepenuhnya kepada dasar ketelusan berhubung sumbangan derma kepada parti politik.
Setiausaha Agung SUPP, Datuk Sebastian Ting Chiew dalam kenyataan akhbarnya semalam menegaskan dasar itu akan membantu membanteras peluang wujudnya rasuah.
“Kami mempunyai banyak majlis dan acara dianjurkan di bawah kepimpinan baharu SUPP, tidak ada syarikat besar memberi sokongan kepada parti dan pemimpin dalam kepimpinan baharu SUPP juga tidak diberi sebarang peruntukan.
“Oleh itu, jika dasar ketelusan sumber dana politik diperkenalkan, SUPP akan menjadi antara pertama mendedahkan punca dananya.
“SUPP akan mematuhi sepenuhnya mana-mana dasar atau undang-undang berhubung perkara penting ini,”ujarnya.
Ting memberitahu rakyat sedia maklum ada ahli perniagaan atau institusi menyumbang sejumlah wang yang besar kepada parti politik untuk kempen politik mereka.
“Justeru, apabila dasar ketelusan diperkenalkan, umum akan tahu institusi, perniagaan atau individu menyediakan sokongan kewangan kepada parti politik.
“Perdana Menteri kita yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mencadangkan perundangan untuk memperkenalkan ketelusan dana kepada parti-parti politik.
“Jika perundangan itu dibentang di Parlimen, kami akan menyokong sepenuhnya,” tambah Ting.
Beliau menegaskan, ekspektasi rakyat ketika ini, bukan sahaja mahu ahli politik bekerja keras tetapi perlu jujur, berintegriti dan telus dalam semua aspek.
Oleh itu undang-undang ini katanya akan menyokong ekspektasi ini dan ia harus dilakukan dengan serius sama ada parti pembangkang mahupun BN.
“Kami menggesa semua parti politik menyokong sebarang cadangan mengubah suai Akta Daftar Pengundi termasuk peruntukan berkaitan pendedahan mandatori sumbangan politik dan penerbitan senarai penderma kepada parti politik,” katanya.
Langkah itu tambahnya, akan memastikan rakyat Malaysia akan menjadi pewaris sebenar dan sistem demokrasi akan dimantapkan lagi dengan tadbir urus bersih.