Sebarang aktiviti perniagaan dianggap operasi haram
Oleh Clare Cinderella //
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada mana-mana pihak dan individu bagi membolehkan mereka beroperasi atau menjalankan perniagaan di premis milik sendiri atau disewa dalam kawasan perumahan.
Pengerusi MBM Datuk Bandar Miri Lawrence Lai memberitahu mesyuarat antara semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berlangsung di Mukah baru-baru ini juga, dengan jelas memberitahu bahawa semua PBT tidak ada mengeluarkan sebarang lesen untuk mana-mana aktiviti di kawasan perumahan.
Katanya, pihak MBM bercadang akan mengadakan kerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei untuk menangani perkara tersebut kelak.
“Kawasan perumahan dibuka untuk tujuan kediaman atau tempat tinggal sahaja dan bukan untuk operasi perniagaan,” katanya.
Lai memberitahu demikian kepada pemberita di sini selepas menghadiri taklimat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri dan Jabatan Tanah dan Survey (JTS) Bahagian Miri berhubung isu pengubahsuaian kediaman menggunakan garis panduan baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri yang diadakan di bangunan MBM di sini, kelmarin.
Jelasnya, semua aktiviti perniagaan seperti membuka kedai makan, kedai runcit dan menjual sayur-sayuran, bengkel, salon, kedai menjual makanan, pakaian dan lain-lain termasuk perkhidmatan dan sebagainya tidak sah dan dianggap beroperasi secara haram.
“Walaupun pemilik perniagaan mendakwa diri mereka ada lesen, ia tidak benar, kerana majlis tidak pernah mengeluar sebarang lesen mahupun memberi kebenaran mereka menjadikan rumah kediaman sebagai premis perniagaan,” tambah beliau lagi. Terdahulu beliau ditanya mengenai sama ada pihak MBM ada memberi lesen kepada kontraktor untuk kerja-kerja mengubah suai rumah atau kediaman di kawasan perumahan.
“Kita tidak ada dan tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen untuk perkara seperti itu. Ia terpulang kepada pemilik rumah itu sendiri untuk mengupah sesiapa pun yang mereka mahukan untuk melakukan ubah suai rumah mereka.
“Apa yang penting ialah mereka yang ingin melakukan ubah suai rumah perlu memohon terlebih dahulu dengan pihak MBM dan sebaik permohonan diluluskan maka mereka boleh memulakan kerja mengubah suai dengan peraturan ditetap dan diberi pengiktirafan oleh pihak Majlis,” jelas Lai.
Dalam perkembangan berkaitan Lai mendedahkan bahawa semua bangunan yang diubah suai menjadi penginapan ‘Inn’ dan ‘Homestay’ di sekitar bandar raya ini juga kebanyakannya beroperasi secara haram.
Semua tempat penginapan yang mengguna pakai nama ‘Inn’ atau ‘Homestay’ perlu mendapatkan lesen daripada Kementerian Pelancongan untuk membolehkan mereksa beroperasi secara sah.
“Hari ini kita lihat semakin banyak ‘Inn’ dan ‘Homestay’ beroperasi sekitar bandar raya ini, yang semuanya tiada lesen sah dan beroperasi secara haram.
“Malah inap desa merujuk kepada penginapan dalam rumah dan kawasan didiami orang seperti kampung, di tanah tinggi Bario dan sebagainya. Bukan di bangunan rumah kedai atau bangunan perdagangan,” katanya.
Justeru apa yang membimbangkan pihak Majlis ialah bangunan penginapan beroperasi secara haram ini juga tidak mempunyai kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, menjadikan ia tempat tinggal berisiko.
“Perkara ini yang kita risaukan, kita bimbangkan keselamatan orang ramai yang menginap di bangunan yang beroperasi seperti, lebih-lebih lagi bahaya yang tercetus daripada kebakaran (kerana struktur yang tidak disah dan diluluskan oleh bomba).
Mengulas mengenai perkara yang sama, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Superintenden Law Poh Kiong memberitahu sepanjang tahun ini, pihaknya telah bekerjasama dengan penguat kuasa MBM melakukan pemeriksaan kerap ke premis perniagaan terutama yang dijadikan tempat penginapan.
“Pemeriksaan kita mendapati masih banyak yang belum mempunyai premit perniagaan atau lesen yang sah.
“Kita cuba membantu mereka ini untuk memastikan operasi mereka sah dan meminta mereka memberikan pelan bangunan yang betul, bagi membolehkan kita mengkaji ciri-ciri keselamatan dalam bangunan mengikut Ordinan Bangunan Sarawak (SBO) 1994,” katanya.
Selain itu menurut Law, jumlah bilik penginapannya juga perlu memiliki peralatan memadam api yang mencukupi bagi menghadapi kecemasan sekiranya berlaku kebakaran.
Mereka yang gagal mematuhi peraturan boleh didakwa di mahkamah dan diambil tindakan, bagaimanapun katanya MBM masih memberikan pihak terbabit peluang untuk memohon lesen sah sebelum tindakan tegas diambil.