
PRIHATIN: Dr Jerip menyerahkan replika kunci kepada Anawati sambil disaksikan oleh Lo (tiga kanan) serta ahli-ahli majlis MPP dan tetamu lain.
KUCHING: Bebanan hidup Anawati Rambli yang hanya bekerja sambilan sebagai pembantu kantin sekolah diringankan apabila Majlis Perbandaran Padawan (MPP) semalam menyerahkan sebuah rumah konkrit baharu satu tingkat kepada ibu tunggal beranak empat itu.
Penyerahan rumah tersebut yang terletak di Lorong 7A Kampung Haji Baki, Jalan Batu Kitang di sini disempurnakan oleh Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil.
Justeru, Dr Jerip berkata bantuan rumah tersebut merupakan satu usaha murni Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada MPP di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Kita amat berterima kasih kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas bantuan ini dan juga MPP kerana mengesyorkan pembinaan rumah baharu untuk Anawati dan anak-anaknya.
“Saya berharap Program Pembasmian Kemiskinan Bandar ini akan terus dikembangkan untuk membantu golongan miskin bandar di sini khasnya dan seluruh negeri amnya,” katanya ketika ditemu bual selepas menyempurnakan simbolik penyerahan rumah baharu kepada Anawati.
Pembinaan rumah konkrit baharu tersebut menelan kos sebanyak RM50,000 dengan mempunyai keluasan lantai 55.500 meter persegi dan lengkap dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, ruang makan, dapur serta bilik air dan tandas.
Pembinaannya bermula pada 5 September dan siap sepenuhnya pada 20 November tahun lepas.
Sementara itu, tiada kata-kata lain yang dapat diluahkan Anawati kepada semua pihak terlibat melainkan ucapan terima kasih.
“Saya betul-betul gembira dan berterima kasih kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta MPP atas bantuan ini,” katanya dengan nada sebak.
Pengerusi MPP Lo Khere Chiang yang turut hadir menyaksikan majlis berkata, beliau amat berbangga terhadap inisiatif tersebut.
“Saya berasa terharu dan ahli-ahli majlis MPP telah melakukan tugas yang baik dalam membantu meringankan beban Anawati sekeluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Lo berkata MPP akan meneruskan usaha tersebut bagi membantu golongan miskin di bandar.
Tahun lepas, MPP juga telah menyerahkan rumah kepada sebuah keluarga miskin di Kampung Seratau, Jalan Kuching-Serian.
Malah, MPP kini juga sedang membina sebuah lagi rumah baharu untuk sebuah keluarga miskin dalam kawasan seliaannya dan ia dijangka siap tidak lama lagi.