SIBU: Seorang wanita warga tua ditemui mati di dalam parit oleh menantu lelakinya dipercayai terjatuh semasa cuba memanjat pokok betik berdekatan sebuah rumah panjang di Pasai Siong, di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Tegang Ngalih, 80-an didapati tidak berada di ruang biliknya selepas menantunya mendapati bilik ibu mentuanya bersebelah bilik nampak sunyi.
Menurut sumber, mangsa tinggal bersama seorang anak perempuan, Enseni Guntur, 50-an yang dikatakan bisu tetapi dia juga keluar bekerja di sebuah kilang kelapa sawit berdekatan jam 5.30 pagi.
Manakala dua orang kakaknya pergi menuai padi semasa kejadian.
Katanya, dia percaya ibu mentua cuba memanjat pokok betik tetapi terjatuh ke dalam parit sedalam empat kaki ketika cuba memetik buahnya.
“Saya percaya emak sedang membawa bakul di belakangnya ketika ditemui lemas di dalam parit,” kata anaknya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini pagi semalam.
Selepas mendapati mangsa tidak bernyawa, menantunya terus mendapatkan bantuan penghuni rumah panjang terbabit.
Mangsa kemudiannya dibawa ke rumah panjang untuk tindakan selanjutnya.
Satu laporan polis mengenai kejadian itu diterima di Balai Polis Sentral semalam.