SIBU: Kesenian masyarakat Cina seperti kaligrafi tidak terbatas kepada kaum Cina sahaja tetapi boleh dipelajari oleh kaum-kaum lain di negara ini.
Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Wong Nai Siong Vincent Lau Lee Ming berkata, ini merupakan satu cara kesenian tersebut dapat diperlihara dan dibangunkan dalam negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti Malaysia.
“Masyarakat Cina mempunyai pelbagai budaya dan tradisi yang mempunyai keunikan tersendiri.
Oleh itu, kita perlu menjaga dan menghargainya setiap masa,” ujarnya ketika berucap merasmikan Pertandingan Kaligrafi di SM Wong Nai Siong, semalam.
Menurut Lau, hari ini ramai kaum Bumiputera terutama di kalangan kaum Iban menerima pendidikan di sekolah-sekolah Cina.
Mereka, katanya, mampu membaca dan menulis dalam bahasa Cina dengan baik.
“Jika kemahiran ini kita ajar kepada pelajar-pelajar, mereka akan lebih faham berhubung kesenian ini,” jelas beliau sambil memberitahu ramai di kalangan kaum Cina kini hilang kemahiran dalam seni kaligrafi berikutan perkembangan teknologi dan komputer.
Menyentuh mengenai SM Wong Nai Siong, Lau berkata sebagai sebuah sekolah swasta, kebudayaan dan pendidikan Cina menjadi keutamaan.
Dalam melangkah ke dalam tahun baharu, beliau baharap sekolah akan mendapat lebih banyak kejayaan.
Hadir sama ialah Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan sekolah, Chieng Buong Toon serta pengetua, Lu Yew Hiung.