KUCHING: Dua lelaki dikhuatiri mengalami patah tulang kaki selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta di Batu 4 Jalan Penrissen di sini pagi semalam.
Mangsa yang berusia 17 dan 24 tahun itu semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerja masing-masing iaitu sekitar jam 7.30 pagi.
Menurut sumber, semasa menghampiri tempat kejadian, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal menuju ke arah pusat bandar telah merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kenari.
Difahamkan, pemandu Kenari tersebut telah memasuki simpang secara meluru menyebabkan kedua-dua mangsa gagal mengawal motosikal mereka lalu merempuh bahagian tepi kereta tersebut.
Ekoran itu, kedua-dua mangsa dikatakan terpelanting dari atas motosikal mereka dan dikhuatiri mengalami patah tulang kaki.
Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
Sementara pemandu kereta Kenari tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.