Pemimpin masyarakat jambatan hubungkan kerajaan dengan masyarakat akar umbi
Oleh Edwin Raoh //
ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong menggesa ketua masyarakat supaya mempertingkat hubungan kerjasama dengan pihak kerajaan demi memudahkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan di negeri ini.
Katanya, jalinan kerjasama erat antara kedua-dua pihak itu perlu memandangkan pemimpin masyarakat mampu memain peranan sebagai jambatan menghubungkan kerajaan dengan masyarakat akar umbi.
Kata Rayong, selain Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), peranan ketua masyarakat juga penting sebagai jambatan penghubung kerajaan.
“Kerajaan memerlukan ketua masyarakat untuk menyampaikan dasar kerajaan di samping meyakinkan rakyat supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada sebagai jaminan pembangunan berkekalan,” katanya.
Dr Rayong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah Buda, Merio Nanga di sini semalam.
Selain itu kata Rayong, ketua masyarakat harus melaksana peranan diamanah dengan penuh tanggungjawab serta komitmen tinggi bagi memasti pembangunan di negeri ini dapat diteruskan.
Malah kata Dr Rayong, ketua masyarakat juga perlu lebih aktif bergaul dengan ketua jabatan kerajaan demi memudahkan pelbagai urusan dari semasa ke semasa.
“Ketua masyarakat perlu melaksana peranan dengan lebih bertanggungjawab dan sentiasa meyakinkan anak buah agar menyokong program dilaksana jabatan kerajaan demi kebaikan sendiri,” katanya.
Dalam majlis itu Dr Rayong menyampaikan cek Peruntukan Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000.00 kepada JKKK Rh Buda, Merio Nanga, RM3,000.00 kepada Biro Wanitanya. Buat JKKK Tupi Merio RM7000 dan Biro Wanitanya RM3000 dan JKKK Rh Unchit RM10,000 dan Biro Wanitanya RM3000 manakala JKKK Rh Sibat, Jelukong RM10,000.