KABONG: Mayat mangsa bot karam di kawasan Simpang Tiga Tanjung Kuali di sini sudah ditemui pada jam 5.40 petang semalam.
Mangsa, Nurul Aizan Daraman, 24, dilaporkan hilang setelah bot yang dinaikinya bersama enam rakannya dipukul ombak kuat lalu karam.
Dalam kejadian itu, mangsa dalam perjalanan balik memancing bersama rakan-rakannya iaitu Chee Mat Chee, 24, Mohamad Azhar Salleh, 24, Abang Mohd Shammyl Abang Mansor, 24, Mohd Hafizul Izzani Abang Mansor, 17, Mohd Zulhelmi Bolhassan, 17, dan Aman Affendi, 31.
Setelah bot mereka karam dipukul ombak, rakan-rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi dan berpaut pada bot yang terbalik manakala mangsa dipercayai dibawa arus dan ombak.
Sejak kejadian itu, gerakan SAR dilancarkan dengan kerjasama penduduk kampung, polis, bomba, RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Maritim.