
RASMI: Khiu (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Kamal selepas merasmikan PLKN Kumpulan 1 Siri 11/2014 di Kem PLKN Junaco Park, semalam.
Ia tidak mustahil jika rakyat lemah, tiada ilmu, kemahiran dan ketahanan diri
SIBU: Bangsa Malaysia tidak mustahil akan dijajah semula dengan mudah sekiranya rakyat lemah, tiada ilmu, kemahiran dan ketahanan diri.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi berkata rakyat pada hari ini dapat melihat peristiwa di seluruh dunia, bagaimana bangsa yang lemah dijajah dan dimusnahkan.
“Sementara itu, negara yang menguasai ilmu dan teknologi menjadi kaya, menjadi pemerintah kepada negara dan rakyat yang mundur.
“Justeru, rakyat Malaysia mesti membina kekuatan jati diri bagi menghadapi cabaran yang semakin kompleks akibat perubahan pesat di dunia,” katanya pada pembukaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 1 Siri 11/2014 di Kem PLKN Junaco Park, semalam.
Hadir sama Timbalan Komandan Pengurusan Kem PLKN Junaco Park Kapten Cannedy Ijau Matalie, Timbalan Komandan Latihan Kem PLKN Junaco Park Mejar (B) Wan Zulpakar Wan Majid serta pengusaha Kem PLKN Junaco Park Kiu Siong Hii.
Menurut Mohd Kamal, masyarakat Malaysia mesti mempunyai keyakinan diri tinggi jika mahu terus berjaya dan mampu bersaing dengan negara lain.
“Kita juga mampu mempertahan kedaulatan negara serta bebas menentukan apa yang baik bagi rakyat sendiri,” jelasnya.
Menurutnya, remaja adalah aset utama negara yang perlu dipersiapkan dari segi fizikal, mental, emosi dan rohani agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran pada alaf ini.
“Wira dan wirawati sendiri sebagai golongan muda yang akan mewarisi kepimpinan negara dan akan mempertahan kedaulatan negara ini dan seterusnya memastikan negara kita terus maju, makmur dan berjaya,” ujarnya.
Katanya di negara-negara lain remaja diwajibkan mengikuti program khidmat negara bertujuan memberi latihan ketenteraan agar mereka boleh dikerah di dalam keadaan tertentu.
Katanya, latihan diberikan adalah lebih keras malah ada negara mewajibkan rakyatnya menjalani khidmat negara untuk tempoh beberapa tahun berbanding hanya tiga bulan di sini.
“Sebaliknya PLKN yang kita laksanakan lebih merupakan ‘nation building’.
“Pendekatan ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh usaha membentuk sebuah negara yang mempunyai hubungan antara kaum yang bersatu padu,” tambahnya.
Seramai 451 wira dan wirawati mengikuti program PLKN di Kem Junaco Park bagi Kumpulan 1 Siri 11 bermula 4 Januari hingga 17 Mac depan.