
JAGA KEBERSIHAN: Ismawie (tengah, berbaju batik), Jolly (tiga kiri) bersama yang lain melawat sekitar kampung semasa menyertai program berkenaan kelmarin.
SRI AMAN: Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh menyeru penduduk di sekitar daerah ini agar sentiasa mengambil berat tentang aspek kebersihan kampung masing-masing.
Menurut beliau, kebersihan persekitaran kampung mahupun rumah panjang bukan hanya tanggungjawab sesuatu pihak sebaliknya adalah tanggungjawab semua.
“Kita tidak mahu ada pihak yang menuding jari kepada sesuatu pihak untuk menjaga kebersihan kampung mahupun rumah panjang milik kita sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gotong-royong serta Majlis Doa Selamat Maulidur Rasul anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Jaya Utara, Kampung Muhibbah dekat sini kelmarin.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk kampung di sini agar menganjurkan program seperti itu sekurang-kurangnya sebulan dua kali.
“Semakin kerap program seperti ini diadakan maka persekitaran kampung kita akan bertambah bersih dan ini mampu mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya.
“Sekiranya tempat kita kotor, air seringkali bertakung maka tempat seperti ini berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya,” jelasnya.
“Oleh itu, kita tidak perlu menunggu arahan pihak berkuasa tempatan untuk mengadakan program seperti ini sebaliknya JKKK perlu memainkan peranan juga dalam meganjurkan program seperti ini,” jelasnya.
Turut hadir Kaunselor Mostapha Tugo, Ketua Kampung JKKK Paya Jaya Utara Jolly Ramli serta ketua-ketua kampung yang lain.
Dalam pada itu, kira-kira 30 penduduk kampung menyertai program berkenaan.